Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 25, 2011

Sathia serah pada Kafa (Harian Metro Online)

JURULATIH skuad Liga Super Kelantan, B Sathianathan menafikan beliau sudah meletakkan jawatan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menggemparkan dengan mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan kepadanya berkuat kuasa semalam.

Sathianathan yang membimbing skuad The Red Warrior merangkul Piala Malaysia buat kali pertama sejak 1921 itu mengakui masih belum mendapat pengesahan mengenai keputusan terbaru FAM itu.

Namun, beliau bersedia menyerahkan kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membuat keputusan sama ada masih mahu menggunakan khidmatnya musim ini.

“Saya masih tidak mendapat surat lagi mengenai keputusan hukuman itu, mungkin FAM sudah menghantar faks kepada Kafa, tapi saya masih belum membacanya.

“Saya kini berada di Kuala Lumpur, esok (hari ini) baru saya pulang ke Kelantan dan akan berbincang dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengenai kedudukan saya bersama Kelantan.

“Tapi sekarang saya tidak mahu komen apa-apa lagi selagi belum berbincang dengan presiden. Saya tidak pernah bercakap untuk meletakkan jawatan dan saya tidak tahu bagaimana timbulnya cerita itu,” katanya yang dihubungi semalam.

Jurulatih berusia 52 tahun itu dijatuhkan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Disiplin FAM Oktober tahun lalu atas kesalahan kelantangannya mempertikaikan pemilihan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebagai gelanggang pertemuan Perlis dan Terengganu ketika Stadium Utama Negeri di Kangar tidak dapat digunakan.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM menerima surat rayuan Sathianathan dan membuat keputusan menangguhkan keputusan berkenaan bagi membolehkan jurulatih itu membimbing Kelantan menghadapi final Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 30 Oktober lalu. Penangguhan itu adalah berdasarkan Perkara 7.1.1 dan 7.5.1 Kod Tatatertib FAM 2010.

Tapi malang mengiringi bekas jurulatih kebangsaan itu apabila mesyuarat Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan Ganarajah C Ayathurai memutuskan hukuman berkenaan berkuat kuasa semalam, lima hari sebelum Kelantan beraksi menentang juara Liga Super Selangor dalam perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam.


Turut menerima nasib sama, bekas jurulatih T-Team, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor yang kekal menjalani penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 bermula 21 Oktober lalu hingga 20 April ini.

Menurut, Sathianathan, amat sukar untuk Kelantan mencari pengganti pada saat akhir namun beliau berharap rentak cemerlang pasukannya tidak terjejas demi memastikan bola sepak Malaysia terus bernyawa.

“Saya harap Kelantan akan berusaha keras untuk memenangi perlawanan dengan Selangor kerana Kelantan adalah pasukan yang memberi nyawa kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan mengejut saat akhir FAM itu ketika saingan Liga Malaysia bakal bermula minggu ini, Sathianathan tidak mahu memberi komen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...