Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 26, 2011

Sathia dapat khabar gembira (Berita Harian Online)

Oleh Norliza Wasilan

2011/01/26

Dilantik CEO Akademi Bola Sepak Alhambra The Red Warriors

SEHARI selepas dikenakan hukuman penggantungan enam bulan, B Sathianathan kembali ceria, semalam apabila dilantik selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Bola Sepak Alhambra The Red Warriors yang akan ditubuhkan untuk terus membantu cabaran Kelantan dalam Liga Malaysia, musim ini.

Jalan ceritanya seperti memberi satu tamparan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengenakan hukuman berat menafikan laluannya membantu pasukan negeri yang amat memerlukan sumbangannya pada saat getir ini, khususnya menjelang perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Walaupun dia digugurkan selaku ketua jurulatih buat mematuhi keputusan FAM, khidmatnya dianggap berharga dan tambahan juga bakal bertindak selaku penasihat teknikal dan pembangunan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Sejurus selepas sidang akhbar di Kota Bahru, Annuar juga mengutarakan pihaknya kini sedang mengintai beberapa jurulatih tempatan dan luar negara untuk menggantikan Sathia buat menyambung kegemilangan bola sepak Kelantan.

Antara nama yang sedang diintai KAFA ialah bekas jurulatih My Team, Bojan Hodak; bekas jurulatih kebangsaan, Datuk M Karathu; bekas jurulatih Kelantan, James Peter Butler dan bekas jurulatih Kedah, Azrai Khor Abdullah.

“Saya perlu membuat keputusan dan penelitian tepat bagi membuat keputusan terbaik untuk Kelantan,” katanya selepas majlis penyerahan cek kepada pemain skuad The Red Warriors sempena kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2010, di Kota Darul Naim, semalam.

Pada majlis itu, pasukan negeri berkenaan menerima bonus RM200,000 daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai menghargai kecemerlangan skuad itu menjulang Piala Malaysia, tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...