Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Sambutan terhebat wira negara (Utusan Malaysia Online)


ARKITEK kejayaan Malaysia pada Piala Suzuki AFF, jurulatih K. Rajagobal dihujani ucapan tahniah daripada penyokong Malaysia yang menyambut ketibaan skuad negara dari Jakarta di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Lebih 2,000 peminat bola sepak negara dari segenap lapisan, hadir dan rela berasak-asak untuk memberikan 'sambutan wira' yang luar biasa sekembalinya skuad bimbingan K. Rajagobal dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

Sebahagian besarnya tetap menunggu dengan penuh sabar di Balai Ketibaan KLIA sejak pukul 12 tengah hari lagi, walaupun waktu ketibaan penerbangan MH0710 yang dinaiki skuad negara tiba lewat lebih sejam daripada yang dijadualkan pada mulanya, 2.10 petang.

Ramai yang enggan melepaskan peluang untuk menyaksikan serta merakamkan gambar dari dekat, detik bersejarah ketibaan skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 itu yang hanya keluar ke Balai Ketibaan kira-kira pukul 4.15 petang.

Malah kebanyakannya hadir dengan memakai jersi Harimau Malaya, sama ada yang berwarna kuning hitam mahupun biru merah selain membawa Jalur Gemilang dan tidak ketinggalan segelintir yang membawa replika trofi Piala Suzuki AFF, selain menyanyikan pelbagai lagu termasuk 'Barisan Kita'.

Ada juga yang sempat menghulurkan salam dan menyentuh badan pemain dan pegawai pasukan, manakala yang tidak dapat berbuat begitu kerana terpaksa berasak-asak, sekadar melaungkan ucapan tahniah dan terima kasih, khususnya kepada Rajagobal dan Penjaring Terbanyak kejohanan, Safee Sali.

Turut mengiringi ketibaan skuad negara seramai 20 pemain di samping jurulatih Rajagobal, penolongnya, Tan Cheng Hoe dan Faozi Mukhlas serta pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Beberapa pemain yang sempat menayangkan dan menjulang Piala Suzuki AFF di KLIA juga disambut dan diberikan ucapan tahniah oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim yang bagaimanapun tiba dengan penerbangan berasingan.

Namun kehadiran luar biasa penyokong Harimau Malaya memaksa pihak keselamatan KLIA dan polis bergegas mengadakan kawalan untuk menghalang mereka yang cuba menyerbu skuad negara yang terus diiringi ke sebuah pentas khas bagi sesi bergambar, sebelum berlepas ke Wisma FAM, Kelana Jaya dengan menaiki bas.

Biarpun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, ramai wakil media massa khususnya jurugambar dan jurukamera TV terpaksa ditolak, bagi memberikan laluan sehingga sesi temu bual atau sidang akhbar yang dirancang dengan pasukan dan orang kenamaan di Balai Ketibaan, terpaksa dibatalkan.

Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996 (dengan nama asal, Piala Tiger) setelah menang agregat 4-2 ke atas Indonesia biarpun tewas 2-1 dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin.

Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu, Harimau Malaya merebahkan Sang Garuda 3-0 hasil dua jaringan Safee dan Ashari Samsudin, malah mengukuhkan kedudukan pendahuluan itu di Jakarta, semalam dengan gol tunggal pada minit ke-55.

Anak buah Rajagobal turut membawa pulang ganjaran kejuaraan, AS$100,000 (kira-kira RM300,000) biarpun sepatutnya salah seorang pemain negara, menambahnya secara peribadi jika bukan Firman Utama dari Indonesia yang gagal menyudahkan sepakan penalti, dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai kejohanan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...