Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Safiq melakar sejarah peribadi (Kosmo Online)


SAFIQ menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 selepas Malaysia menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia, Rabu lalu.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu! Begitulah perumpamaan terbaik untuk menggambarkan untung nasib kapten skuad bola sepak kebangsaan, Mohd. Safiq Rahim.

Safiq mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 biarpun baru dua bulan menggalas tugas selaku kapten skuad negara.

Pemain tengah berusia 23 tahun ini sudah mengetepikan pencapaian bekas kapten skuad kebangsaan terdahulu yang belum pernah mengecap pengalaman tersebut.

Sejak kejohanan itu diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada tahun 1996, Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.

Bagaimanapun, sejarah yang dilakar Safiq bersama 21 pemain yang lain di bawah bimbingan jurulatih, K. Rajagobal tidak boleh dinilai berlandaskan nasib baik semata-mata.

Ironinya, faktor usaha yang gigih, komitmen tinggi, kepimpinan utuh dan semangat kesukanan yang tulus ikhlas mendorong mencipta sejarah itu.

"Kemenangan yang diraih hari ini bukan daripada usaha perseorangan sebaliknya kerjasama dan kegigihan sebuah pasukan yang mendahagakan kegemilangan sejak 14 tahun yang lalu.

"Dulu saya memang ada impian untuk menyertai Piala Suzuki AFF tetapi tidak sangka mimpi itu menjadi kenyataan dalam masa yang begitu singkat," kata anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini.

Anak sulung pasangan Rahim Mohd. Yatim, 51, dan Aidah Majid, 42, berkata, selaku kapten skuad negara yang digalas buat julung-julung kalinya telah memberi tekanan kepadanya.

Begitupun, sikap rakan-rakan sepasukan yang fleksibel dan terbuka membuatkan dia memimpin pasukan dengan begitu cekap, sekali gus berjaya merangkul piala berprestij di Asia Tenggara itu.

Dia tidak berdepan masalah untuk memimpin rakan-rakan lain ke arah mencapai matlamat yang sama dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam semua perlawanan.

Bercerita mengenai pengalaman pada final kedua Piala Suzuki AFF yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Indonesia pada Selasa lalu, Safiq berkata, perlawanan itu tidak begitu kritikal tetapi seimbang sahaja.

"Disiplin tinggi yang ditunjukkan semua pemain telah memudahkan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan.

"Bekalan jaringan 3-0 yang telah diperoleh pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia telah meningkatkan lagi keyakinan saya dan pemain lain.

"Justeru, saya begitu yakin dan memberi harapan tinggi serta berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF itu," ujarnya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, kapten muda itu tetap merendah diri dengan memuji pasukan lawan, Indonesia.

Shafiq berkata, mereka masih lagi pasukan yang bagus dan memberi persaingan yang hebat, sekali gus tertarik dengan sikap pemain lawan yang tidak mudah putus asa.

Dia juga mengakui kemenangan ini, sama sekali mengubah persepsi masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap pasukan bola sepak kebangsaan.

Ia telah menjadi laluan baru ke arah menjadi sebuah pasukan gergasi Asia dan memiliki Piala Asia pada masa akan datang.

Bagi Safiq impian untuk melayakkan ataupun menawan trofi Piala Dunia masih jauh lagi.

Bagaimanapun dia percaya bahawa cita-cita itu pasti dapat dicapai secara berperingkat-peringkat dan menimba pengalaman sebelum menjadi juara dunia.

"Ini adalah perkara biasa dalam senario arena sukan, apabila mana-mana piala yang berprestij tinggi menjadi milik negara tertentu sudah pasti matlamat yang lebih mencabar serta tinggi diletakkan ke atas pasukan tersebut.

"Saya rasa memang mudah untuk meletak matlamat besar tetapi bukan mudah bagi merealisasikan dalam masa yang singkat. Maka, adalah penting bersikap realistik dan berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Safiq merupakan pemain tengah Selangor dan bekas pemain KL PLUS serta penjaring gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Presiden Malaysia 2007/2008 menentang Perak.

Dia pernah mewakili pasukan bawah 20 tahun Malaysia ke Piala Belia Asia 2006 dan Sukan Asia 2006 di Doha.

Dia membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2007 ketika menentang Myanmar dan kemudian hanya bermain untuk pasukan bawah 23 tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena