Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 12, 2011

Safee kena lupakan Persib (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/01/12

Kelab Liga Super Indonesia itu sudah punyai cukup pemain barisan depan

PENYERANG Selangor, Mohd Safee Sali boleh melupakan hasratnya untuk mewakili Persib Bandung musim ini memandangkan kelab Liga Super Indonesia itu sudah mempunyai barisan pemain depan mencukupi.

Pengurus Persib Bandung, Umuh Muchtar dalam kenyataan laman web kelab berkata, dia mengetahui keinginan penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki itu untuk menyarung jersi kelabnya, tetapi tiada kekosongan lagi untuk musim ini.

“Saya tahu hasrat Safee mahu beraksi di sini, tetapi memandangkan bilangan pemain terutama barisan depan sudah mencukupi, kami kemungkinan besar akan memberikan peluang itu musim depan,” kata Umuh.

Menurut Umuh, Persib Bandung kini menyandarkan harapan kepada khidmat pemain kebangsaan Indonesia, Christian Gonzalez, dibantu Hilton Mauro Moreira, Pablo Alejandro Frances, Rachmat Afandi dan Airlangga Sutjipto untuk saingan musim ini.

Selain Persib Bandung, sebuah lagi kelab yang dikatakan memberi tawaran kepada Safee ialah Persiba namun pengurusnya, Jamal Al’Rasyid menafikan kelabnya berminat mendapatkan khidmat penyerang 26 tahun itu.

“Saya belum ada terdengar rancangan mendapatkan khidmat Safee Sali,” kata Jamal kepada akhbar TempoInteraktif Indonesia. “Pemain yang ada sekarang sudah menunjukkan prestasi memuaskan dan tidak ada rancangan untuk merekrut pemain baru.”

Safee sebelum ini menyatakan, dia sudah hampir pasti menyarung jersi salah satu daripada tiga kelab di Indonesia, walaupun kontraknya bersama Selangor masih berbaki 11 bulan. Namun pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) keberatan melepaskan penyerang kelahiran Kajang itu.

Hasrat Safee itu juga tidak mendapat restu Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengharapkan pemain tempatan memilih liga lebih berkualiti berbanding liga rantau Asia Tenggara

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...