Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Pertimbangkan Sewajar Sebelum Terima Tawaran Kelab Bola Sepak Asing (BERNAMA)

02 Januari, 2011 18:47 PM

PETALING JAYA, 2 Jan (Bernama) -- Pemain bola sepak negara yang menerima tawaran daripada kelab asing diingati agar menilai kualiti kelab dan tahap permainan liga negara berkenaan sebelum menerima tawaran itu, nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Jika tahap dan kualiti mereka kurang atau pun sama dengan kita, saya rasa lebih baik sahaja mereka menempa nama dalam negara.

"Kita hanya mendengar kehebatan pasukan atau kelab luar negara itu dari media negara mereka namun sejauh mana kehebatan kelab mereka sukar ditentukan," katanya ketika diminta mengulas minat beberapa kelab luar negara seperti Indonesia dan Vietnam untuk mendapatkan khidmat pemain negara.

Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang berkata FAM tidak akan menyekat pemain negara bermain untuk kelab asing kerana mereka mempunyai hak untuk menempa nama dalam pilihannya.

"Namun saya harap mereka fikir berkali-kali sebelum membuat keputusan akhir kerana risiko dan kekangan yang bakal mereka tempuhi berbeza dengan negara kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco di Wisma FAM di sini.

Media sejak kebelakangan ini melaporkan beberapa pemain negara antaranya Mohd Safee Sali, Mohd Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha ditawarkan bermain untuk kelab bola sepak dari negara jiran.

Baginda berpendapat sekiranya tawaran penghijrahan itu datang dari kelab negara Jepun ataupun Korea Selatan, ia lebih wajar dipertimbangkan kerana kualiti permainan mereka dikatakan lebih kompetitif.

Ditanya ura-ura bola sepak akan dimasukkan dalam program 'Road To London 2012', Tengku Abdullah berkata beliau mengalu-alukan sekiranya sukan itu tersenarai.

Program "Road To London 2012" setakat ini menyenaraikan empat jenis sukan iaitu badminton, terjun, berbasikal dan hoki untuk menyertai Sukan Olimpik 2012 di London.

Tengku Abdullah berkata ganjaran kerana membawa pulang Piala AFF Suzuki oleh pemain kebangsaan akan diumumkan Presiden FAM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada pertengahan bulan ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...