Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Penyokong kembali penuhi stadium (Harian Metro Online)

RAMAI pasti tidak lupa detik-detik ketika Hassan Sani melorongkan bola kepada James Wong yang merembat masuk gol kemenangan Malaysia 2-1 ke atas Korea Selatan pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Merdeka pada 1980. Seluruh negara melonjak gembira.

Perasaan itu dirasai semula malam kelmarin, selepas 30 tahun. Bola sepak Malaysia begitu disegani di Asia pada era 1950-an, kemudiannya ketika era legenda Mokhtar Dahari, R Arumugam, Soh Chin-Aun dan Santokh Singh.

Selepas kemenangan gandingan James Wong-Hassan Sani, bola sepak negara mulai merudum pada 1990-an dan awal 2000-an.

Ia tampak bangkit semula Disember tahun lalu apabila skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea di Vientiane, Laos. Kejayaan memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selepas mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2 pula mengesahkan Malaysia jaguh sebenar Asia Tenggara.

Malah pasukan yang sama juga mencipta kejutan apabila menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam perlawanan persahabatan tahun ini.

Pujian kepada jurulatih tempatan, K Rajagobal, 54, yang mula menjadi jurulatih kebangsaan bawah 23 tahun sejak April 2009.

Skuad bimbingannya berjaya 'mengajak' penyokong bola sepak supaya memenuhi semula Stadium Nasional di Bukit Jalil. Buat pertama kalinya Stadium Nasional dipenuhi 85,000 penonton bola sepak semasa final pertama Piala AFF Suzuki, Ahad lalu.

Tidak mustahil penyokong negara beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Stadium Gelora Bung Karno jika tidak wujud keraguan terhadap keselamatan di Jakarta, Rabu lalu.

Kali terakhir Stadium Nasional padat dengan kebanjiran penonton ialah ketika perlawanan persahabatan skuad kebangsaan menentang pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United FC pada 18 Julai 2009.

Lebih bermakna kejayaan Malaysia kali ini apabila skuad kebangsaan terdiri daripada anak jati Malaysia.

Selepas mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan daripada B Sathianathan, Rajagobal membuat kenyataan bahawa beliau meminta tempoh tiga tahun untuk membentuk skuad yang mampu mengembalikan keagungan bola sepak negara.

Keupayaan layak ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou, baru-baru ini memamg satu kejutan selepas skuad negara dilanda masalah kecederaan tetapi kejayaan menjuarai Piala Suzuki di Jakarta menggemparkan senario bola sepak negara walaupun terpaksa akur dengan kehebatan Iran dengan kekalahan 1-3. bBagaSemasa Sukan Asia 2010 di Guangzhou baru-baru ini, skuad negara yang menghadapi masalah kecederaan turut membuat kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua meskipun terpaksa akur apabila dibelasah Iran 1-3.

Selepas beraksi di Sukan Asia, skuad 'Harimau Malaya' cuma berehat seminggu sebelum menyambung latihan bagi mempersiapkan diri untuk kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki.

Rajagobal, yang memegang lesen A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), pernah melatih pasukan Selangor pada 2000 dengan membawa pasukan itu menjuarai Liga Perdana Satu, separuh akhir Piala Malaysia dan suku akhir Piala FA.

Selain itu, beliau juga pernah membawa Kelantan sehingga peringkat separuh akhir pada musim 2001/2002 Piala Malaysia sebelum dilantik ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun kebangsaan dari 2003 hingga 2009.

Rajagobal pernah berkata tiga aspek penting jika mahu kembali disegani di peringkat Asia Tenggara ialah pembangunan pemain peringkat akar umbi, pembangunan jurulatih dan Liga Malaysia sendiri perlu menghasilkan pemain berpotensi.

“Saya tahu dan seluruh rakyat tahu bahawa ia merupakan satu perkara yang tidak mudah, tapi saya akan cuba memberikan yang terbaik dan bersikap realistik,” katanya selepas dilantik tahun lalu.

Beliau berkata ketiadaan pemain import merupakan peluang terbaik bagi pemain tempatan untuk menonjolkan prestasi masing-masing.

Rajagobal dikenali sebagai seorang yang peramah dan merendah diri tetapi tetap tegas ketika berada di atas padang mengendalikan sesi latihan buat anak didiknya.

Sebagai bekas pemain kebangsaan, beliau dikenali sebagai penyerang lipas kudung yang pernah bermain bersama pemain legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari lewat zaman 1970-an.

Ketika itu, beliau bermain untuk pasukan PKNS FC dalam liga semi-pro negara dari 1978 hingga 1989.

Kejayaan Rajagobal dan skuad Harimau kini menyemarakkan semangat Malaysia melangkah ke 2011 dengan lebih yakin untuk mencatat lebih banyak kejayaan.

Terima kasih Rajagobal. Terima kasih Harimau Malaya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...