Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Pemain Terima Tawaran Kelab Luar Negara Perlu Fikir Pembangunan Karier (BERNAMA)

02 Januari, 2011 16:53 PM

PARIT BUNTAR, 2 Jan (Bernama) -- Pemain bola sepak negara yang menerima tawaran bermain dengan kelab luar negara, perlu menimbang beberapa perkara sebelum bersetuju dengan tawaran berkenaan terutama dalam aspek pembangunan karier mereka pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pemain boleh membuat beberapa pilihan dengan menimbangkan sama ada kelab berkenaan boleh dijadikan kayu pengukur dalam karier serta akan membantu dalam pembangunan pemain pada masa akan datang atau sebaliknya.

"Apakah mereka sendiri berasa selesa untuk bermain di kelab yang lain. Dalam soal ini kita mesti terbuka. Banyak pemain seperti pemain England yang tidak semestinya bermain di England dan begitu juga pemain Sepanyol yang tidak semestinya bermain di Sepanyol.

"Ini perkara biasa tetapi apabila dikerahkan untuk tanggungjawab nasional mereka akan menjalani latihan pusat dan mewakili negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah sempena Larian Sawah Perdana dan Sukan Rakyat anjuran Umno Bahagian Parit Buntar di sini Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyerang skuad kebangsaan Mohd Safee Sali yang menerima sekurang-kurangnya empat tawaran kontrak untuk menyertai kelab di luar negara iaitu Indonesia dan Vietnam.

Ahmad Shabery berkata pemain juga perlu memikirkan sama ada berbaloi mereka bersetuju menerima tawaran kelab berkenaan dengan meninggalkan negara dan sama ada diletakkan di bawah jurulatih terbaik serta bersama-sama pemain terbaik serta proses pembangunan diri, mestilah diambil kira dan bukan hanya memikirkan aspek pulangan gaji dan kewangan sahaja.

Beliau berkata sememangnya sudah sampai masanya pemain seperti Mohd Safee dan beberapa pemain lain yang mempunyai nilai tersendiri untuk bergelar pemain profesional.

"Kita juga melihat sekiranya bola sepak dipersetujui diletakkan di bawah program 'Road to London', kita juga fikirkan untuk program berkaitan pendedahan ke luar negara serta memperkemaskan sistem kejurulatihan kita, program peningkatan kecergasan dan fizikal. Ini semua kita perlu fikirkan untuk pembangunan bola sepak negara," katanya.

Menurutnya beliau akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) esok untuk mendapatkan gambaran sebelum membentangkan ke Kabinet Rabu ini berhubung persiapan 'Road to London' yang perlu dilakukan untuk pasukan negara.

Mengenai saranan MIC supaya jurulatih bola sepak negara K.Rajagobal dianugerahkan gelaran 'Datuk', Ahmad Shabery berkata penganugerahan itu hanya diberikan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri dan ia tidak diberikan atas desakan mana-mana pihak.

Bagaimanapun katanya pihaknya boleh memberi cadangan berhubung anugerah 'Datuk' itu, namun sama ada diberi atau sebaliknya, ia tidak menjadi sesuatu yang berbeza.

"Anugerah 'Datuk' juga boleh diberikan kepada beberapa pemain tetapi sebagai seorang profesional, gelaran itu bukan menjadi kayu pengukur untuk beliau memberi khidmat yang lebih baik atau tidak. Saya rasa ini ada dalam profesionalisme bola sepak itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena