Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 31, 2011

Pemain Kelantan tambah semangat (Utusan Malaysia Online)

SHAH ALAM – Bukan mudah untuk menewaskan Selangor yang beraksi di gelanggang sendiri, namun tugasan itu berjaya dilaksanakan Kelantan apabila membenam ego skuad Red Giants 2-0 dalam aksi perlawanan sumbangsih, kelmarin.

Orang paling gembira dengan kejayaan itu sudah tentu jurulatih baru Kelantan, Datuk M. Karathu yang membuktikan kepulangannya di bumi Kelantan seakan-akan memberikan tuah dengan menghadiahkan trofi pertama Kelantan pada perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia.

Tanpa berselindung, Karathu yang pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 mengakui kejayaan itu akan melonjakkan motivasi pemainnya dalam memburu kejuaraan Liga Super pada musim ini memandangkan Selangor antara pencabar utama dan merupakan juara bertahan.

‘‘Menang ke atas Selangor di tempat lawan bukan satu perkara yang senang dan saya amat gembira kerana kami meraih tiga mata pada perlawanan pertama liga.

‘‘Selain menjuarai trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama, saya dapat rasakan kemenangan ini akan memberikan motivasi buat pemain untuk memburu kejuaraan Liga Super,” kata Karathu selepas berakhir perlawanan, kelmarin.

Kelantan yang lebih dikenali dengan jolokan Red Warriors menang menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha menerusi jaringan penalti seawal minit kelapan dan sepakan percuma di minit ke-84 oleh Mohd Badhri Mohd. Radzi.

Kemenangan itu melebarkan rekod tanpa kalah Kelantan ke atas Selangor kepada lima pertemuan.

Terengganu akan menjadi lawan kedua Kelantan dalam saingan Liga Super pada perlawanan yang dijadualkan esok di Stadium Sultan Mohamed IV.

Walaupun pada awal musim ramai meramalkan Kelantan akan pincang di bahagian sayap selepas ketiadaan Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Nor Farhan Muhammad, sangkaan itu ternyata meleset sama sekali.

Aksi K. Soley (Solihin Kanasian) serta bekas pemain Johor FC, Mohd. Nurul Azwan Roya menggantikan dua pemain sayap itu jelas memukau pada perlawanan berkenaan dan tidak keterlaluan untuk mengatakan Kelantan mampu melangkah lebih jauh pada musim ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Karathu sendiri yang memuji persembahan kedua-dua pemain itu yang menjadi nadi kepada jentera serangan Kelantan.

‘‘Walaupun masih baru, kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang permasalahan untuk bermain dengan baik dan kehadiran mereka akan banyak membantu Kelantan melangkah maju ke hadapan.

‘‘Saya harap mereka berdua dan pemain lain boleh mengekalkan momentum yang sama dalam setiap perlawanan yang kita akan harungi selepas ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena