Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 26, 2011

Pemain Kelantan dapat ganjaran (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan mengotakan janjinya apabila menyampaikan ganjaran bernilai RM200,000 kepada barisan pegawai dan pemain pasukan Kelantan di atas kejayaan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu.

Majlis Penyerahan Cek Kepada Pemain Pasukan Bola Sepak Kelantan Sempena Kejayaan Menjuarai Piala Malaysia 2010 disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis yang berlangsung di Kota Darul Naim semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Exco-exco Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan tertinggi Kafa dan pemain Liga Super Kelantan.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, Kafa merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan di atas kesudian menyampaikan ganjaran kepada barisan pemain dan pengurusan.

“Walaupun kita berhadapan pelbagai ujian seperti kehilangan tiga pemain, penggantungan jurulatih (B Sathianathan), masalah stadium tetapi semangat kental kita sebagai orang Kelantan akan sentiasa menempuhi cabaran.

“Saya beri jaminan kita akan buat segala usaha terbaik untuk memperkasakan pasukan dan menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat setia bola sepak Kelantan. Dan saya mahu pemain tidak terganggu emosi di atas penggantungan jurulatih kita,” katanya.

Sementara itu Datuk Nik Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, walaupun nilai ganjaran itu tidak seberapa, tetapi tetap merupakan satu hadiah istimewa daripada Kerajaan Negeri dan diharap menjadi satu pencetus semangat kepada pemain Kelantan untuk terus berjaya pada masa akan datang.

“Saya ingin melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan Kafa, jurulatih dan pemain yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia pada tahun lalu. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penuh usaha untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

“Sebagai tanda penghargaan kepada pemain, kalau pada 2009 kita berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan menghadiahkan pakej umrah kepada semua pemain tetapi pada kali ini kita menghadiahkan ganjaran dalam bentuk wang tunai pula atas kejayaan menjulang Piala Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...