Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, January 7, 2011

Pelan empat tahun FAM (Harian Metro Online)

SAINGAN Piala Asia bermula di Qatar hari ini dengan 16 pasukan terbaik benua Asia bertarung merebut piala yang memasuki edisi ke-15 itu.

Namun agak mengecewakan apabila Malaysia tidak layak beraksi dalam saingan tertinggi peringkat benua Asia itu selepas gagal melepasi pusingan kelayakan yang diadakan awal 2009.

Kebangkitan bola sepak negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan pingat emas Sukan Sea pada penghujung tahun lalu melalui sentuhan magis ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal (gambar) sudah terlambat untuk membolehkan mereka layak ke Piala Asia kali ini.

Malah Rajagobal mengambil alih tugas itu secara mengejut apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecat B Sathianathan selepas keputusan yang mengaibkan, tewas 5-0 di tangan Emiriah Arab Bersatu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada 21 Januari 2009.

Hasil empat perlawanan diharungi, Malaysia berada di tempat terbawah daripada tiga pasukan bersaing dalam Kumpulan C tanpa sebarang mata dan melepaskan 12 gol berbanding hanya dua gol dijaringkan.

Episod duka itu bagaimanapun terus disimpan dalam lipatan sejarah FAM yang kembali menanam cita-cita besar apabila Naib Presiden, Datuk Subahan Kamal menyatakan hasrat dan rancangan mereka untuk layak secara merit ke Piala Asia 2015 yang bakal berlangsung di Australia.

Malah Rajagobal sendiri menjelaskan berulang kali kepada media tempatan mereka mempunyai pelan empat tahun untuk merealisasikan hasrat bagi mengulangi zaman kegemilangan bola sepak tanah air suatu ketika dulu.

“Itulah yang sewajarnya dilakukan FAM selepas memastikan skuad kebangsaan menjadi juara di rantau Asia Tenggara.

“Mereka perlu meletakkan sasaran yang lebih tinggi kerana sudah mempunyai asas dan kedudukan yang kukuh malah harapan peminat kini turut bertambah tinggi hasil kejayaan itu,” kata Raja Bola, Datuk Abdul Ghani Minhat.

Menurut legenda bola sepak negara itu, FAM juga perlu bijak mengatur perlawanan persahabatan yang bertaraf A bagi memastikan prestasi pemain sentiasa meningkat.

“Mungkin kini mereka boleh mengatur perlawanan dengan kuasa Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan. Keputusannya tidak penting kerana orang hanya menilai keputusan yang dicapai pada kejohanan disertai,” katanya.

Sejak saingan Piala Asia bermula pada 1956, Malaysia layak beraksi di peringkat kumpulan pada 1976 dan 1980 manakala pada 2007 ketika layak secara automatik sebagai tuan rumah, Malaysia dimalukan pesaing di peringkat kumpulan apabila tewas kepada Uzbekistan (5-0), China (5-0) dan Iran (2-0).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...