Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

‘Pak Su buat kami bangga’ (Harian Metro Online)

KEJAYAAN pasukan negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 cukup membanggakan seluruh keluarga penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Aksi cemerlang pemain berusia 21 tahun itu pada final kedua di Stadium Gelora Bung Karno benar-benar mengejutkan keluarganya, terutama bapa, Che Mat Hussain, 58, yang menyifatkan persembahan terpuji anaknya sebagai hadiah amat bermakna buat negara. “Kami semuanya berasa bangga dengan apa yang ditunjukkan Pak Su (gelaran buat Khairul Fahmi) pada perlawanan itu untuk negara. Mungkin ini rezeki buatnya untuk terus maju dalam bola sepak dan kejayaan ini adalah berkat usaha dan disiplin tinggi ditunjukkan serta semangat tidak mudah putus yang sentiasa ada dalam dirinya,” kata Che Mat kepada wartawan di rumahnya di Kampung Dusun Raja, Cherang, semalam.


Beliau berkata sebelum perlawanan akhir kedua itu, Khairul Fahmi ada menghubunginya dari Jakarta bagi memohon restu agar keputusan perlawanan itu akan berpihak kepada negara meminta didoakan agar 'prestasinya pada malam itu benar-benar menjadi.' “Itulah anak saya...baik sebelum beraksi untuk Kelantan atau untuk negara, dia tidak akan lupa memohon restu keluarga,” katanya. Menyentuh mengenai minat Khairul Fahmi dalam bola sepak, ayahnya memberitahu ia bermula ketika dia berumur lapan tahun lagi dan minatnya hanya di posisi penjaga gol saja. “Dari kecil lagi, dia cukup minat dengan posisi itu dan mula beraksi bersama pasukan sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Tapang ketika berumur 12 tahun,” katanya.

Khairul Fahmi kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor Baharu sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Che Mat berkata sambutan besar-besaran akan diadakan penduduk kampungnya dengan kerjasama wakil rakyat bagi menyambut kepulangan Khairul Fahmi, Isnin ini. “Majlis itu akan diadakan dengan perarakan 10 pacuan empat roda dan 30 motosikal yang akan bermula dari lapangan terbang. Inilah kebanggaan saya sebagai bapa dan apapun selepas ini, nasihat saya agar jangan mudah lupa diri dan sentiasalah tingkatkan potensi untuk terus berjaya,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...