Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, January 14, 2011

Norshahrul mahu bantu Kelantan (Sinar Harian Online)



KOTA BHARU – Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berazam membantu Kelantan menjulang kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dalam perlawanan Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada 29 Januari ini.

Norshahrul Idlan berkata, selepas kejayaan membantu skuad kebangsaan muncul juara Piala AFF Suzuki penghujung tahun lalu, tumpuan utama beliau kini adalah untuk memastikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pula dibawa pulang ke Kota Bharu.

“Kelantan tidak pernah memenangi piala ini jadi ini merupakan peluang terbaik bagi kita menjulang piala buat pertama kali seterusnya untuk dihadiahkan kepada peminat setia bola sepak Kelantan.

“Saya kini dapat memberi tumpuan sepenuhnya menjalani latihan bersama skuad Kelantan. Masa bergembira (meraikan kejayaan skuad negara menjulang piala baru-baru ini) sudah berakhir. Tumpuan saya kini adalah bersama Kelantan dalam mengharungi saingan Liga Super sebanyak 26 perlawanan selain perlawanan pusingan pertama Piala FA pertengahan Februari nanti.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain termasuk pemain-pemain baru. Walaupun kita kehilangan beberapa tonggak utama yang mengambil keputusan untuk berhijrah tetapi saya percaya itu bukan masalah besar bagi pasukan kita” katanya.

Norshahrul Idlan yang baru sahaja turun menjalani sesi latihan bersama skuad Kelantan di Kota Bharu sejak petang semalam turut berharap dapat mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Empat perlawanan persahabatan menentang Kedah, Perlis, USM FC dan Pulau Pinang memberi signifikan yang tersendiri buat saya sebagai penyerang utama Kelantan musim ini. Empat perlawanan ini cukup penting dalam usaha saya mencari keserasian dengan rakan-rakan sepasukan yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai siapa yang bakal digandingkan bersama beliau di bahagian depan Kelantan musim ini, Norshahrul mengakui ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan tambahan pula beliau baru sahaja menjalani latihan bersama skuad Kelantan.

“Namun saya tidak kisah dengan siapa saya digandingkan. Kita ada Khalid (Jamlus), Ramzul Zahini (Adenan), Nizab (Ayub) dan S Chanturu. Semua pemain boleh bertindak sebagai pemain penyerang utama Kelantan,” katanya.

Musim lalu, Norshahrul Idlan yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai sepanjang 2010 digandingkan silih berganti dengan Hairuddin Omar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan S Chanturu dibahagian serangan Kelantan. Namun Hairuddin dan Akmal Rizal mengambil keputusan berhijrah ke Negeri Sembilan dan Perak setelah kontrak kedua-dua pemain itu tidak disambung oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) pada musim ini.

Sementara itu, skuad Kelantan akan bertolak ke Pulau Pinang pagi ini selepas menjalani sesi latihan terakhir bagi mengharungi empat perlawanan persahabatan selama seminggu berada di sana.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena