Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 6, 2011

Negeri Sembilan yakin harungi cabaran Liga M (Harian Metro Online)

NEGERI Sembilan yang diperkuat tujuh pemain baru kini lebih yakin mengharungi cabaran Liga Malaysia musim 2011 dijadual bermula 29 Januari ini selepas setiap pemain menunjukkan komitmen dan prestasi membanggakan sepanjang persiapan bermula sejak pertengahan November lalu.

Ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan (gambar kecil) gembira melihat persembahan anak buahnya, terutama ketika mengharungi beberapa perlawanan persahabatan, termasuk menewaskan Johor FC, 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Menurut pengendali berasal dari Johor itu, walaupun masih ada kelemahan yang perlu diperkemas, keseluruhan prestasi dipamer anak buahnya meyakinkan sekali gus meyakinkannya Negeri Sembilan kini lebih bersedia mengharungi cabaran saingan berprestij itu.

“Bahagian serangan yang menggandingkan Hairuddin (Omar), Ahmad Fakhri (Saarani) dan Ahmad Aminuddin (Shaharuddin) semakin menunjukkan persefahaman selain pemain bahagian tengah,” katanya merujuk kepada Idris Karim, Halim Zainal, G Mahathevan dan S Kunalan serta Shahurain Abu Samah yang bertindak sebagai pemain sayap kiri dan kanan.

Beliau turut berpuas hati terutama persembahan Mahathevan yang semakin serasi walaupun baru menganggotai skuad Hoben Jang Hoben.

Gandingan Mohd Shukor Adan dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di bahagian pertahanan juga semakin baik walaupun Mohd Aidil belum cergas sepenuhnya susulan kecederaan lutut ketika final Piala Malaysia tahun lalu.

“Saya puas hati komitmen Aidil dalam latihan. Saya harap Aidil cergas sepenuhnya kerana Norhafiz Zamani Misbah masih belum boleh diturunkan akibat kecederaan yang agak serius,” katanya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berharap anak buahnya meneruskan aksi mantap pada perlawanan persahabatan seterusnya iaitu menentang Sime Darby FC di Paroi, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...