Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 11, 2011

Milan hempas pulas

ROME: Pemain tengah, Gennaro Gattuso percaya Milan berdepan risiko terlepas gelaran Serie A apabila terpaksa bangkit tiga kali untuk mencatatkan keputusan seri 4-4 dengan Udinese di gelanggang sendiri.

Milan ketinggalan 0-1 dan 1-3 sebelum menuju ke masa kecederaan dengan kedudukan 3-4 sehingga akhirnya berjaya mendapatkan mata sukar itu.


“Jika kami tidak memenangi kejuaraan tahun ini, kami tidak akan dapat melakukannya,” katanya selepas perlawanan di San Siro itu.

“Kami kehilangan beberapa pemain tetapi kelemahan kami ditunjukkan melalui gol yang dilepaskan, kami perlu lebih baik lagi selepas ini.” Milan mempunyai dua peluang untuk menjarakkan kedudukan mata namun hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan terakhir di gelanggang sendiri.


Mereka tewas 0-1 kepada Roma pada penghujung Disember lalu dan tewas lagi pada perlawanan kelmarin.


Nasib mereka baik kerana tiada pesaing terdekat mengambil kesempatan.

Lazio tewas di gelanggang sendiri kepada kelab bawahan, kelmarin, Juventus juga kalah kepada Parma pada Khamis dan Napoli tewas kepada Inter Milan pada hari sama.


Jika juara bertahan, Inter yang kini 11 mata di belakang Milan, menang dua perlawanan selepas ini, mereka mungkin menjadi pesaing utama Milan.

“Jika Inter memenangi dua perlawanan itu, mereka hanya ketinggalan lima mata dan itu yang merisaukan saya,” tambah Gattuso.


“Kami sedar mereka adalah pasukan hebat dengan atau tanpa jurulatih baru dan bekas pengurus Milan, Leonardo.” Walau bagaimanapun satu sebab untuk mereka berasa yakin menurut Gattuso adalah kerana kehadiran pemain baru, Antonio Cassano yang membuka ruang untuk dua gol terakhir Milan. Dia yang masuk sebagai pemain gantian turut mencipta gol kemenangan ketika menentang Cagliari pada pertengahan minggu.


“Ia tidak mengejutkan, dia tidak berada di tahap terbaik kerana berat badan berlebihan namun sudah menjaringkan tiga gol.


“Dia tahu ini adalah peluang terakhirnya tetapi kelihatannya dia gemar berada lama di bilik persalinan.” Zlatan Ibrahimovic yang menjaringkan gol lewat di masa kecederaan untuk menyamakan kedudukan sependapat kehadiran Cassano memberikan tenaga tambahan. - AFP

--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...