Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 11, 2011

Mereka tak mudah lupa diri: Raja (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/01/11

Jurulatih negara juga mahu skuad Harimau Malaya fokus kepada Piala Asia

JURULATIH skuad kebangsaan, K Rajagobal yakin anak didiknya tidak akan mudah lupa diri walaupun dihujani pelbagai pujian dan ganjaran selepas membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010 hujung tahun lalu.

“Saya kenal pemain saya, mereka tidak akan lupa diri,” kata Rajagobal dalam satu majlis sambutan bersama penaja (Nike) dan peminat di Damansara kelmarin. “Apabila kembali ke padang, mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan perlawanan.
“Buat masa sekarang, saya memberi kelonggaran kepada pemain memenuhi jemputan acara-acara sambutan di atas kejayaan menjuarai Piala Suzuki baru-baru ini. Ini saja masa untuk mengumpulkan mereka sebelum masing-masing kembali ke kelab atau negeri.”

Rajagobal yang dianggap jurulatih istimewa kerana berjaya membawa skuad muda menjuarai dua kejohanan besar peringkat Asia Tenggara - Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki 2010 - bagaimanapun tidak mahu terus dibuai mimpi dengan kejayaan “kecil” berkenaan.

“Cuba tonton Piala Asia yang sedang berlangsung sekarang,” kata Rajagobal. “Kualiti pasukan di Asia Tenggara masih jauh ketinggalan berbanding pasukan Asia lain. Sasaran sebenar kita adalah di peringkat Asia, bukan sekadar Asia Tenggara.

“Jadi saya tidak mahu kita terbawa-bawa dengan kejayaan ini sehingga lupa mempersiapkan diri menghadapi cabaran lebih besar. Saya sendiri tidak akan berhenti mencari bakat muda untuk meluaskan lagi kelompok pemain kebangsaan sedia ada.”
Ujian besar yang menanti skuad muda kebangsaan tahun ini, selain mengekalkan pingat emas Sukan SEA di Jakarta pada November, ialah memenangi kedua-dua perlawanan pra-kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan di Kuala Lumpur pada 23 Februari dan di Karachi, 9 Mac depan.

Ketika ditanya mengenai hasrat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengekalkan peranannya dalam skuad kebangsaan pada Sukan SEA November ini, Rajagobal berkata: “Setakat ini belum ada kata putus mengenai perkara berkenaan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena