Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 12, 2011

Medan uji prestasi (Harian Metro Online)

UJIAN pertama menanti skuad bola sepak kebangsaan tahun ini selepas bergelar juara Piala Suzuki AFF bulan lalu apabila berdepan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 9 Februari depan.

Perlawanan diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk kelayakan Piala Dunia 2014 Jun depan serta pertemuan dengan gergasi bola sepak Inggeris, Chelsea sebulan selepas itu.

Jurulatih kebangsaan, K Rajagobal berkata, perlawanan dengan Hong Kong itu adalah medan terbaik menilai prestasi pemain selepas kejohanan Piala Suzuki AFF.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan menurunkan pemain yang tidak beraksi sebelum ini, termasuk pemain utama yang pulih daripada kecederaan jika mempamerkan prestasi baik dalam musim baru Liga Malaysia.

“Perlawanan ini penting untuk saya mengumpul semula pemain kerana mahu mereka terus konsisten. Kalau kita tidak mengadakan perlawanan sebegini agak sukar untuk pasukan ini berada di tahap terbaik.

“Sudah pastinya saya hanya memanggil pemain yang menunjukkan prestasi baik dalam saingan Liga Malaysia kerana mahu memberi peluang kepada pemain lain. Inilah masanya saya menguji pemain yang tidak dapat peluang kerana cedera sebelum ini,” katanya.

Antara pemain utama yang terlepas aksi di kejohanan sebelum ini adalah pasangan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Radzak serta Baddrol Bakhtiar.

Sementara Hong Kong yang dibimbing jurulatih Tsang Wai Chung pastinya menurunkan pasukan terbaiknya bagi menguji pasukan mereka yang turut dalam rangka persediaan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2014.

Bagi Rajagobal, beliau berharap dapat menguji anak buahnya menerusi perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

“Kami cuba yang terbaik mendapatkan perlawanan berstatus A, kalau boleh saya mahu perlawanan dengan pasukan yang berbeza, pasukan lebih hebat, baru saya boleh kenal pasti sejauh mana kekuatan pasukan kebangsaan,” kata Rajagobal yang bersedia untuk memanggil pemain menyertai latihan pusat 2 Februari depan bagi menghadapi perlawanan dengan Hong Kong

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...