Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 6, 2011

KL 'ikat perut' hadapi Liga M (Utusan Malaysia Online)


KUALA LUMPUR - Peruntukan terhad atau perlu banyak berbelanja 'mengikat perut', memaksa Kuala Lumpur melakukan persediaan menghadapi Liga Malaysia 2011 secara berhemah atau sekadar perlu, dengan berharapkan sebilangan besar pemain muda.

Skuad bimbingan Razip Ismail ini juga akur untuk tidak menyertai perlumbaan mendapatkan pemain bertaraf bintang yang menjadi idaman pasukan gergasi lain seperti Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Malah dengan usia sekitar awal 20-an, pemain mereka yang dinaikkan daripada skuad Piala Presiden musim lalu, Si Helang sebenarnya cukup berat untuk melupakan pemergian ketua pasukannya musim lalu, Azidan Sarudin ke jiran Lembah Klang, Selangor.

"Bagaimana boleh kami halang apabila ia melibatkan masa depan dan karier seseorang pemain? Pada era sekarang, sesiapa yang dapat tawaran lebih baik, pasti dia akan pergi dan kami memang terasa dengan kehilangan Azidan sesudah dia begitu lama bersama Kuala Lumpur.

"Kami ke Liga M musim ini dengan belanjawan terhad dan perlu betul-betul mengikut kemampuan yang ada. Pasukan lain sibuk berbelanja besar dan memburu bintang dan nama besar, tetapi kami hanya ambil apa yang patut dan gunakan sebaik mungkin.

"Malah dengan keadaan itu, kami sukar untuk bertandang ke luar bagi perlawanan persahabatan pramusim hinggakan hampir semuanya dijalankan sekitar Lembah Klang sahaja," kata Razip ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Musim lalu menyaksikan Kuala Lumpur yang bebas daripada sebarang masalah gaji tertunggak pemain, menduduki tempat kesembilan Liga Super, terkandas pada pusingan kedua Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Namun, bagi menghadapi musim 2011, mereka sudah mengadakan lima persahabatan pramusim antaranya dikalahkan skuad negara 0-2, menewaskan Sarawak 2-0 dan Majlis Perbandaran Muar 2-1, mengikat Terengganu 2-2 selain kalah kepada Negeri Sembilan di Paroi, 0-1.

Kata Razip, mereka mempunyai dua lagi perlawanan persahabatan menjelang aksi Liga Super yang bermula 29 Januari ini, iaitu dengan menentang Kaki Bukit Singapura (esok) dan Johor (Sabtu ini), kedua-duanya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

"Setakat ini, siri persahabatan itu memberikan banyak idea untuk saya dalam mencari persefahaman dan kemantapan pasukan malah beberapa calon sedang dikenal pasti untuk dipilih sebagai ketua pasukan," katanya.

Tiga tonggak berpengalaman luas mereka ialah bekas bek tengah negara, Perak dan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal selain Yong Kuong Yong, pemain tengah yang pernah memikat jurulatih negara, K. Rajagobal serta penjaga gol Remezey Che Ros.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena