Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 6, 2011

Kim Swee akui tertekan (Harian Metro Online)

KEJAYAAN ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan pingat emas di Sukan Sea 2009 pastinya menjadi penanda aras baru kepada jurulatih bola sepak kebangsaan lain.

Tidak terkecuali, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang turut terkena tempiasnya apabila diberikan tugas mengendalikan skuad yang dibarisi pemain bawah 22 tahun bagi melepasi kelayakan Sukan Olimpik 2012 di London.

Skuad kebangsaan dijadual berdepan Pakistan pada pusingan pertama kelayakan untuk ke temasya sukan terbesar dunia itu pada 23 Februari di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum bertandang ke tempat lawan, 9 Mac.

Tanpa berselindung, Kim Swee mengakui tekanan itu perlu diharungi dirinya dan pegawai pasukan Harimau Muda A lain untuk memberikan yang terbaik.

“Memang agak tertekan, namun saya pernah melaluinya ketika mengambil alih tugas Rajagobal sebagai jurulatih Harimau Muda pada 2009 ketika pasukan itu tidak tewas dalam semua 11 perlawanan Liga Perdana dan seterusnya bergelar juara,” katanya.

Namun, dalam situasi ini, Kim Swee berkata, cabaran dihadapi lebih besar kerana pasukannya bermain dengan pasukan terbaik Asia sekiranya melepasi cabaran Pakistan.

“Semua pihak kena faham dan perlu sedar kedudukan kami,” katanya yang turut merancang perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar di negara Asia Barat itu 20 Januari ini.

Malah Kim Swee juga berhasrat mendapatkan khidmat empat pemain luar daripada pasukannya untuk menentang Pakistan, diketuai penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang kini menjadi tumpuan rakyat Malaysia kerana ketangkasan dipamerkannya pada Piala Suzuki AFF, termasuk menyelamatkan sepakan penalti kapten Indonesia, Firman Utina pada perlawanan akhir kedua di Jakarta.

Selain itu, beliau turut ingin menguatkan jentera serangan dengan memanggil tiga penyerang iaitu Ahmad Shakir Ali (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Mohd Faizal Abu Bakar (Kedah).

“Saya percaya kehadiran mereka akan menguatkan lagi pasukan yang sebelum ini mendapat pendedahan latihan dan perlawanan di Slovakia tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...