Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Kerajaan tidak pilih kasih beri layanan (Berita Harian Online)

2011/01/02

KUALA LUMPUR: Layanan istimewa kepada pasukan bola sepak kebangsaan yang muncul juara Piala Suzuki AFF 2010, termasuk pelbagai ganjaran yang dijanjikan bukan bermaksud kerajaan pilih kasih atau mengetepikan atlit bidang sukan yang lain, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

“Bila kita bagi insentif, bukan bermaksud pasukan bola sepak adalah pasukan kegemaran. Pada saya, bola sepak adalah antara sukan utama bukan saja di negara kita malah seluruh dunia dan ini (juara Piala Suzuki AFF 2010) sebagai penyuntik semangat.

“Ada juga badan di luar kerajaan yang ingin menyumbang... pada saya ini sesuatu yang bagus,” katanya selepas merasmikan Karnival Semarak 1 Belia 1 Malaysia 2011 peringkat Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Beliau berkata, setiap persatuan sukan menerima peruntukan, sekali gus tidak timbul soal pilih kasih dalam aspek pemberian insentif atau ganjaran dan persatuan juga skim tersendiri untuk diberikan kepada atlit masing-masing.

Sambil menyifatkan kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan itu mampu menyuntik semangat khususnya golongan belia dalam arena sukan, Razali berharap ia menjadi tirai pembukaan kepada lebih banyak lagi kejayaan pada 2011 dan menasihatkan atlit negara agar tidak mudah alpa dengan kemenangan.

Mengenai label Harimau Malaya buat pasukan bola sepak negara yang dikatakan mengguris perasaan masyarakat Sabah dan Sarawak berikutan penggunaan perkataan Malaya, beliau berkata, ia sudah lama digunakan dan tidak pernah menjadi isu selama ini.

“Sudah lama kita gunakan (Harimau Malaya), tak pula timbul masalah ketika itu. Pada saya ini semua mainan pihak tidak bertanggungjawab, tapi kita tetap akan mendengar suara ramai. Jika banyak tentangan, kementerian akan mengkaji semula penggunaan slogan ini. Jangan jadikan isu ini polemik,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, 2011 adalah tahun penting bagi kementeriannya menyusun strategi untuk memantapkan lagi mutu sukan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...