Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 30, 2011

Kelantan julang piala lagi (Sinar Harian Online)


SHAH ALAM – Genap tiga bulan menjulang Piala Malaysia, Kelantan sekali lagi mencipta sejarah baru apabila muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali setelah mengalahkan Selangor 2-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ini merupakan kejuaraan pertama pasukan The Red Warriors memenangi piala tersebut sejak ianya mula dipertandingkan dalam pentas bola sepak negara 27 tahun lalu.

Pertembungan Selangor dan Kelantan, bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah musim dipilih, berdasarkan kriteria Selangor yang muncul sebagai juara Liga Super dan Kelantan pula dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia musim lalu.

Beraksi di hadapan hampir 40,000 penyokong dengan sokongan padu yang seimbang oleh kedua-dua penyokong, Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baru, Datuk M Karathu tiga hari lalu, membuktikan kemelut yang membelenggu pasukannya sebelum ini tidak menghalang impian mereka untuk meruntuhkan keyakinan tinggi pasukan Red Giants untuk mempertahankan kejuaraan di halaman sendiri.

Kelantan yang melakukan sepak mula terlebih dahulu, menguji kekentalan pintu gol Selangor seawal minit pertama perlawanan menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi namun sepakannya sedikit melewati palang.

Pada minit kelapan, Kelantan diberikan sepakan penalti apabila bek kanan Selangor, Mohd Razman Roslan menjatuhkan Mohd Nurul Azwan Roya didalam kotak penalti.

Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mudah menyepak masuk ke sebelah kiri pintu gol menewaskan Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor kembali menggandakan asakan menerusi serangan balas pada m-12 melalui Mohd Shafiq Rahim namun lorongannya terlalu jauh untuk disambut Mohd Safee Sali.

Selang seminit kemudian, Selangor hampir menyamakan kedudukan namun percubaan pemain kebangsaan Mohd Shafiq daripada luar kotak penalti diselamatkan pemain pertahanan Kelantan diatas garisan gol. Dominasi Selangor berterusan selepas itu apabila mempunyai dua peluang terbaik melalui Mohd Hardi Jaafar pada m-17 dan 20 namun percubaannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Namun anak buah pengendali baru, M Karathu jelas tidak mahu mengalah apabila turut mempunyai peluang menambahkan gol pada m-23 hasil situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Selangor tetapi kuisan Muhd Badhri sedikit melewati palang.

Pada m-32, Mohd Safee merakamkan kehampaan apabila tandukannya hasil hantaran lintang Mohd Shafiq terkena palang gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas. Sementara pada minit-minit akhir separuh masa pertama, kehebatan Khairul Fahmi sekali teruji menerusi percubaan jarak jauh 35 meter oleh Mohd Hardi yang hampir memerangkap beliau di gawang gol Kelantan.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi permainan pantas dan menghiburkan apabila saling menyerang ke pintu gol pasukan masing-masing. Pada m-52, Selangor sekali lagi hampir menyamakan kedudukan apabila hantaran jauh Mohd Amri ditampan Mohd Safee menerusi kuisan mengelirukan namun Khairul Fahmi berada tepat pada masanya menyelamatkan pintu gol Kelantan.

Pada m-61, giliran Kelantan pula membalas serangan menerusi lorongan Muhd Badhri yang ditampan kemas Mohd Nurul Azwan yang kemudian membawa masuk bola ke dalam kotak penalti tetapi sepakan kencangnya diselamatkan Mohd Iqbal.

Pada m-62, pengadil perlawanan Mohd Yusof Mat Karim terpaksa menghentikan perlawanan kira-kira 10 minit gara-gara tindakan penyokong Kelantan membaling mercun dan botol minuman ke kawasan padang.

Selang 13 minit kemudian, Mohd Safee sekali lagi kempunan untuk meletakkan bola ke dalam jaring apabila rembatan jarak jauhnya mudah dibaca Khairul Fahmi. Sementara itu, percaturan Jurulatih Selangor, K Devan mengeluarkan Ketua Pasukan, Mohd Amri dan memasukkan S Sritharan selepas itu tidak banyak membantu menguatkan jentera serangan pasukannya.

Pada m-84, Stadium Shah Alam sekali lagi bergema dengan sorakan setia penyokong The Red Warriors apabila sepakan percuma Muhd Badhri menerjah jaring seterusnya menewaskan Mohd Iqbal menghasilkan gol kedua Kelantan.

Sementara dua percubaan pemain gantian, S Sritharan pada masa kecederaan sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Kelantan dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi turut diumumkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan malam tadi. Kejayaan mengatasi Selangor dengan kemenangan dua gol, membolehkan Kelantan mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini, di samping menamatkan rekod tidak pernah menang di Stadium Shah Alam sejak sekian lama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...