Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, January 26, 2011

Kelantan cari jurulatih baru (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini mengintai beberapa jurulatih bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berikutan penggantungan ketua jurulatih B. Sathianathan, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula semalam.

Pada masa yang sama, khidmat Sathianathan masih diperlukan oleh KAFA dan mesyuarat ahli majlis persatuan tersebut telah memutuskan bekas jurulatih kebangsaan itu dilantik sebagai Penasihat Teknikal dan Pembangunan serta Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Red Warriors.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedang meniliti beberapa jurulatih dalam dan luar negara termasuk bekas jurulatih Harimau Muda A, Azrai Khor Abdullah, Datuk M. Karatu; Peter James Butler dan Bojan Hodak.

Menurutnya, KAFA pihaknya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru dalam memilih pengganti Sathianathan, biarpun pasukanya memerlukan jurulatih yang berkelayakan dalam masa terdekat.

"Ketika ini, tugas Sathia akan diteruskan oleh dua penolong jurulatih Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin, berkemungkinan KAFA akan membuat permohonan khas kepada FAM untuk menyertai beberapa perlawanan awal tanpa ketua jurulatih.

"Mengikut syarat kena ada ketua jurulatih dan kita telah penuhi syarat tersebut. Kita telah mendaftar sebelum perlawanan dan kita tidak tahu Sathianathan kena gantung.

"Sekiranya kita tidak dapat mencari pengganti lebih awal, mungkin kita terpaksa memulakan perlawanan tanpa jurulatih. Seboleh-bolehnya kita mahu selesaikan lebih awal. Saya tidak akan buat tindakan tergesa-gesa, nanti terjejas sebab ini memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan cek kepada pemain bola sepak Kelantan yang memenangi Piala Malaysia 2010 di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada semua pemain yang terlibat dalam perlawanan akhir tahun lalu.

Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan menggantung Sathianathan selama enam bulan dan denda RM20,000, kerana bersalah mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, dengan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu ketika saingan Liga Super musim lalu.

Annuar berkata, pihaknya dukacita kerana ia menjejaskan persiapan pasukan tersebut untuk menghadapi saingan Liga Malaysia.

"Jawatankuasa Rayuan kekalkan pengantungan di mana beliau tidak dibenarkan untuk bersama-sama dalam liga atau mana-man pertandingan yang dianjurkan oleh FAM.

"Sebagai mematuhi pengantungan, timbul dua isu. Pertama kedudukan Sathianathan kerana kelmarin ada pelbagai tanggapan mengenainya, semua tidak berbangkit kerana beliau hanya digantung jadi mesyuarat KAFA bermesyuarat dan membuat keputusan mengekalkan Sathianathan kekal bersama KAFA tetapi menjalankan tugas yang tidak tertakluk kepada pergantungan," katanya.

Katanya, Sathianathan akan memulakan tugasnya pada akhir bulan ini dan tugas utamanya ialah mengenal pasti lima jurulatih, lima sekolah dan sebuah pusat latihan induk untuk akademi ini.

Ditanya adakah wujud agenda untuk menjatuhkan Kelantan, Annuar berkata: "Dalam sukan sentiasa ada lawan. Macam bola baling mari balik, bergantung kepada cara kita untuk tanggani. Saya tak ada masalah, ini mungkin kebetulan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...