Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Kekuatan baru Jang (Harian Metro Online)

NEGERI Sembilan yang bakal hadir dengan kekuatan baru melalui penampilan tujuh pemain berpengalaman dan berwibawa bukan saja diyakini berupaya memberikan cabaran bermakna, malah mampu meraih sasaran ditetapkan iaitu menjuarai tiga trofi utama - pada kempen Liga Malaysia 2011, bermula 29 Januari ini.

Keyakinan tinggi itu disuarakan kapten pasukan yang juga tonggak pertahanan, Mohd Shukor Adan, yang menyifatkan prestasi skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan kali ini lebih memberangsangkan untuk mencapai sasaran menjulang Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

“Saya yakin kekuatan Negeri Sembilan kali ini lebih seimbang berbanding musim lalu kerana kehadiran tujuh pemain berpengalaman diyakini dapat menggalas tugas serta tanggungjawab dengan lebih berkesan berbanding sebelum ini, hanya bersandarkan kepada pemain muda,” katanya.

Menurutnya, kehadiran bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar (gambar) serta tiga bekas pemain Perlis, Mohd Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin selain pertahanan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadly Idrus (KL Plus) serta G Mahathevan (PKNS Selangor), mampu menguatkan lagi skuad Negeri Sembilan.

“Saya percaya kesemua mereka ini bakal mempamerkan kehebatan dan memberikan sumbangan berkesan dalam membantu kepada kejayaan pasukan yang diharapkan nanti,” katanya.

Mohd Shukor, 31, menjadi pilihan pengurusan pasukan itu untuk menggalas tugas memimpin rakan lain selepas kapten sebelum ini, Rezal Zambery Yahya beralih arah kepada pasukan Johor FC.

Walaupun baru melepasi musim kedua dalam skuad itu, pemilihannya dilihat tepat kerana Shukor adalah antara pemain paling berpengalaman yang pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa termasuk Piala AFF selain kelayakan Piala Asia sebelum ini.

Malah pemain kelahiran Melaka ini juga adalah antara penyumbang penting kepada kejayaan Negeri Sembilan ketika merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2009 dan naib juara trofi berprestij itu musim lalu.

Bagi Shukor, setiap pemain Negeri Sembilan perlu berusaha keras dan sentiasa memberikan komitmen tinggi sepanjang saingan itu nanti kerana kejayaan bukan mudah dicapai, apatah lagi bagi mendapatkan ketiga-tiga trofi utama itu.

“Jika semua pihak dapat memberikan kerjasama sebagai satu pasukan yang mantap ia bukan mustahil untuk dicapai seperti mana kejayaan skuad kebangsaan merangkul kejuaraan Piala Suzuki AFF selepas 14 tahun,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...