Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 29, 2011

Kedah Susun Sistem Pentadbiran Dalam Usaha Menang Tiga Piala


ALOR SETAR, 27 Jan (Bernama) -- Pasukan bola sepak Kedah telah menyusun semula sistem pentadbiran mereka bagi membentuk skuad yang mantap dalam usaha mereka untuk merangkul tiga piala dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengurus pasukan Datuk Khazali Din berkata dengan sistem pentadbiran itu, skuad itu dikumpulkan bukan sahaja sewaktu latihan yang diadakan pada sebelah pagi dan petang setiap hari seperti sebelum ini, tetapi berada bersama untuk sepanjang hari.

Katanya bermula tahun ini, selepas latihan pagi mereka akan berada di pejabat untuk program yang sesuai seperti penilaian kecergasan dan pemakanan memandangkan para pemain dan jurulatih adalah profesional yang dibayar untuk terlibat dalam bola sepak.

"Tiada lagi datang latihan pagi lepas tu balik. Latihan petang datang semula. Kali ini mereka dikumpulkan sepanjang hari kecuali hari yang tiada latihan iaitu Sabtu dan Ahad. Mereka yang terlibat (dengan penyusunan ini) adalah jurulatih, penolong jurulatih dan pemain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Bandar Selamat di sini Khamis.

Beliau yang juga Datuk Bandar Alor Setar berkata para pemain telah ditegaskan tentang hasrat pasukan untuk memenangi semula tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Mengenai pertemuan pembukaan Liga Super musim ini bertemu T-Team Sabtu ini, Khazali berkata pasukannya sedikit pincang kerana ramai pemain mengalami kecederaan terutama pemain-pemain di bahagian serangan.

"Kita sekarang adalah masalah penyerang. Azlan Ismail yang baru pulih daripada kecederaan cedera balik dan tidak begitu cergas. Mohd Khyril Muhymeen Zamri juga cedera.

"Penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias pula patah jari. Abdul Hadi Abd Hamid dan Ahmad Shakir Md Ali juga dalam senarai pemain yang cedera. Amar Rohidan pula kena demam campak.

"Kita berhadapan dengan masalah untuk perlawanan pertama. Tambahan pula, bagi saya tahun ini pasukan T-Team adalah pasukan yang paling kuat berdasarkan barisan pemainnya," katanya.

Khazali berharap para pemain dapat memenangi perlawanan pertama musim ini di Stadium Darul Aman itu bagi memberikan keyakinan kepada para pemain untuk beraksi dalam perlawanan-perlawanan kemudian.

"Tiap-tiap tahun kita bermula teruk. Tahun lepas mula-mula dah kalah empat perlawanan berturut-turut. Akhirnya nak bangkit semula susah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...