Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 27, 2011

Karathu pulang ke Kelantan (Harian Metro Online)

SELEPAS 18 tahun akhirnya jodoh Datuk M Karathu (gambar) kembali ke Kelantan untuk menggalas tugas sebagai jurulatih skuad The Red Warriors bagi mengambil alih tempat B Sathianathan yang digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Isnin lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan Karathu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Pengurusan Kafa dan juga Sathianathan yang kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Bola Sepak The Red Warriors.

“Saya menghubungi 5-6 jurulatih dalam dan luar negara, saya juga mendapatkan pandangan Sathianathan mengenai perkara ini kerana jurulatih baru itu akan bekerjasama dengan Sathianathan. “Saya puas berfikir malam tadi dan dalam perjalanan ke sini akhirnya saya membuat keputusan untuk melantik Datuk M Karathu sebagai jurulatih baru Kelantan. Saya baru beberapa minit memberitahu Karathu mengenai perlantikan ini dan mengarahkannya mengemas barang dan datang ke Kelantan untuk melapor diri kepada Sathianathan.

“Dia akan berjumpa pasukan esok (hari ini) dan akan datang ke Selangor (Perlawanan Sumbangsih) Jumaat ini,” katanya ketika ditemubual dalam satu program bual bicara bola sepak Formasi terbitan Astro Arena malam tadi.

Kelantan, juara Piala Malaysia terpaksa mencari jurulatih baru selepas Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan ke atas Sathianathan di atas kesalahannya mengkritik jadual perlawanan Liga Super tahun lalu.

Perlantikan Karathu yang pernah bersama Kelantan selama semusim pada 1993 serta mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan seperti Perak dan kelab Liga Singapura Woodlands Wellington FC menamatkan spekulasi mengenai calon jurulatih baru pasukan itu yang turut mengaitkan beberapa nama seperti Mohd Azraai Khor Abdullah dan Peter Butler.

Kehadiran Karathu juga pasti melegakan skuad gergasi Pantai Timur itu yang perlu mencari jurulatih baru kelas A dalam tempoh 14 hari untuk bertanding dalam Liga Malaysia musim ini.

Tugas pertama Karathu adalah memastikan hasrat Kelantan memenangi perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini di Stadium Shah Alam menentang Selangor tercapai.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...