Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 27, 2011

Karathu kendali Red Warriors (Sinar Harian Online)



KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih Perak, Datuk M Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru musim ini berkuat kuasa serta-merta bagi menggantikan B Sathianathan yang menjalani hukuman penggantungan selama enam bulan.

Pelantikan Karathu, bekas jurulatih Perak 2008-2009 itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam satu program temu bual sebuah stesen televisyen swasta, malam tadi.

Pemilihan Karathu mengakhiri spekulasi terkini mengenai siapa yang bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih.

Jawatan tersebut ditinggalkan Sathianathan tatkala sepak mula Liga Malaysia membabitkan perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah, pertemuan di antara Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam hanya berbaki tiga hari sahaja lagi.

Pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru ini juga bermakna beliau berjaya mengetepikan tiga lagi calon lain iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah, Bojan Hodak dan Peter James Butler sebagaimana yang diumumkan Annuar Musa sebelum ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi berkata, pemilihan Karathu sebagai pengendali Kelantan yang baru berdasarkan pengalaman luas beliau menjadi jurulatih bola sepak sejak sekian lama.

“Dia (Karathu) dan Sathianathan akan melaporkan diri kepada pihak Kafa di Kota Bharu pada pagi esok (ini) bagi memulakan tugas baru mereka masing-masing, Karathu akan mengikat kontrak selama setahun melatih pasukan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Karathu sebagai Ketua Jurulatih Kelantan yang baru telah dipersetujui Sathianathan,

“Pihak pengurusan Kafa dan Sathianathan sebulat suara melantik dia sebagai pengendali pasukan kita yang baru berkuat kuasa serta-merta.

“Saya percaya berdasarkan pengalaman luas dia sebagai jurulatih bola sepak yang pernah melatih pasukan dalam dan luar negara, dia tidak mempunyai masalah untuk membimbing Kelantan musim ini,” katanya.

Nama Karathu pasti tidak asing dalam kalangan peminat bola sepak Kelantan kerana dia pernah membimbing Kelantan pada tahun 1993 serta menjadi jurulatih import tempatan pertama yang berjaya membawa Kelantan mara ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia tahun sama.

Sudah pasti para peminat Kelantan mengharapkan sentuhan ajaibnya selaku antara pakar taktikal terbaik di negara ini untuk membawa Kelantan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali apabila bertemu Selangor di Shah Alam pada Sabtu ini, biarpun mempunyai masa kurang dari tiga hari untuk melatih Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...