Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 16, 2011

Kafa bantu baik pulih stadium (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Keresahan peminat setia bola sepak Kelantan mengenai status terkini Stadium Sultan Muhammed IV, satu-satunya gelanggang terbaik bagi pertandingan bola sepak Liga Malaysia yang terdapat di negeri ini, dijangka diketahui tidak lama lagi.

Ini berikutan ada usaha membaik pulih kerosakan di stadium tersebut sedang giat dilakukan oleh pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Pengerusi Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, Kafa turut terpanggil untuk sama-sama membantu PSK membaik pulih keadaan padang stadium tersebut dengan mendapatkan bantuan mesin daripada beberapa kelab golf di negeri ini.

“Alhamdulillah, setakat ini kalau kita tengok keadaan padang stadium sudah semakin baik, ditambah pula dengan cuaca elok di Kota Bharu sekarang sedikit sebanyak membantu kakitangan perbadanan stadium melakukan kerja-kerja membaik pulih permukaan padang dengan lancar.

“Kami turut mendapatkan segala bantuan yang difikirkan perlu daripada Kelab Golf dan Desa Kelantan (KGCC) dan Kelab Golf Diraja Darul Naim, serta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga turut bertungkus-lumus untuk memastikan tahap pencahayaan lampu limpah di stadium ini memenuhi kriteria yang diminta oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kita mengerahkan pekerja stadium bekerja pada hari ini untuk memastikan padang dapat digunakan pada 1 Februari ini. Insya-Allah, saya tengok dalam masa seminggu keadaan ini akan kembali pulih sebagaimana yang dikehendaki oleh FAM,” katanya.

Azman berkata, kerja menebuk lubang pada permukaan padang itu sudah dilakukan sejak tiga hari lalu, dan selepas ini kerja-kerja penyelenggaraan akan dilakukan dalam tempoh seminggu.

Ditanya mengenai kegusaran peminat bola sepak jika skuad Kelantan tidak dibenarkan bermain di gelanggang sendiri, sekiranya masalah padang dan lampu limpah gagal disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, Azman optimis semua permasalahan itu akan dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak.

“Saya difahamkan, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) FAM dijangka melawat stadium ini pada 20 atau 21 Januari, bagi membuat pemeriksaan kali kedua ke atas padang dan tahap pencahayaan lampu limpah stadium,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...