Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 22, 2011

Juara Piala AFF 2029 layak automatik (Harian Metro Online)

BUKAN hanya di Malaysia, sebaliknya cadangan Asean untuk menganjurkan Piala Dunia pada 2030 turut hangat dibincangkan di kalangan negara rantau ini.

Antara topik perbahasan adalah pasukan mana yang layak beraksi di Piala Dunia atas tiket selaku tuan rumah jika bidaan bersama negara rantau ini berjaya memikat hati badan induk bola sepak antarabangsa Fifa.

Jika pencetus idea, Menteri Luar Datuk Anifah Aman menyatakan cadangan awal untuk membentuk satu pasukan terbaik dari Asean, laporan berita dalam laman web Bangkok Post pula mempunyai versi berbeza.

Penolong Penyelidik Institut Hal Ehwal Asia Timur, Fuadi Pitsuwan berkata, pasukan yang muncul juara Piala Asean 2029 (Piala AFF) patut diberikan hak automatik beraksi pada Piala Dunia 2030 memandangkan tidak semua negara rantau ini boleh beraksi dalam kejohanan membabitkan 32 negara itu.


“Juara Piala Asean 2029 adalah pasukan yang layak untuk beraksi pada Piala Dunia Asean 2030,” katanya.

Bagaimanapun cadangan Fuadi itu sukar diterima memandangkan mengikut perkiraan penganjuran Piala AFF, acara dwi tahunan yang bermula sejak 1996 tidak akan diadakan pada 2029.

Namun ia tidak mustahil berlaku kerana pernah terjadi Piala AFF yang sepatutnya berlangsung pada 2006 ditunda pada 2007.

Berdasarkan ketetapan Fifa, setiap pasukan tuan rumah mesti mempunyai kemudahan telekomunikasi, pengangkutan dan penginapan yang baik. Negara tuan rumah pula mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 12 stadium dengan 10 daripadanya berkapasiti 40,000 penonton dan dua stadium boleh memuatkan 80,000 penonton untuk acara pembukaan dan final.

Fuadi mengakui, infrastruktur dan komunikasi adalah cabaran besar yang perlu dihadapi namun beliau yakin ia boleh diatasi.

“Setiap negara anggota Asean harus menyediakan sekurang-kurangnya satu stadium untuk kejohanan ini. Dengan jangkaan Timor-Leste akan menyertai Asean awal tahun depan, sekali gus menjadikan Asean mempunyai 11 anggota, Asean mampu membina 11 stadium baru,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Worawi Makudi berpendapat cadangan Asean untuk menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2030 bukan mudah.

“Bukan mudah untuk Asean menjadi tuan rumah Piala Dunia. Jika mereka (Asean) mahu menganjurkan Piala Dunia, perlu hanya ada empat negara yang menganjurkannya. Adalah mustahil untuk Piala Dunia dianjurkan lebih daripada empat negara,” katanya yang dipetik dalam laman web rasmi persatuan itu.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura, Zainudin Nordin mengalu-alukan usaha Asean untuk membuat bidaan.

“Tidak mustahil Asean boleh menjadi tuan rumah bersama dalam tempoh 20 tahun akan datang dengan pembangunan bola sepak yang agresif di kalangan anggota Asean, kita boleh memenuhi standard bola sepak antarabangsa,” katanya yang dipetik dalam laporan laman web The Times of India.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...