Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 29, 2011

Janji gegar gawang (Harian Metro Online)


Oleh Aziman Rosdi dan Azlan Muhammad Zain
sukan @hmetro.com.my

PENYERANG Selangor, Mohd Safee Mohd Sali bersedia melupakan seketika hajatnya untuk beraksi di luar negara dan berjanji menggegar gawang Kelantan bagi memastikan pasukannya mempertahankan trofi Piala Sultan Ahmad Shah pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, malam ini.

Safee yang menjadi pujaan ramai dengan aksi berbisanya ketika membantu Malaysia merangkul Piala Suzuki AFF bulan lalu berkata, tidak ada perkara lain yang menjadi keutamaannya ketika ini selain memberi aksi terbaik untuk skuad gergasi merah itu.

“Fokus saya ketika ini adalah bersama Selangor, mengenai perpindahan ke kelab luar itu saya serahkan kepada pihak pengurusan pasukan. Tugas saya memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan,” katanya yang ditemui Arena Metro pada sesi latihan rasmi Selangor, semalam.

Safee, pemain kelahiran Perak yang meledak lima gol pada Piala Suzuki AFF sebelum ini menyuarakan hasrat untuk berkelana ke luar negara selepas mendapat tawaran tiga kelab Liga Super Indonesia.

Bagaimanapun, sehingga kini perkara itu masih dalam perbincangan majikannya, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kelab-kelab itu.

Mengulas pertemuan dengan juara Piala Malaysia, Kelantan, dia mengakui Selangor bakal berdepan tentangan sengit apatah lagi musuh ketatnya itu mahu menyekat mereka menjulang trofi itu buat musim ketiga berturut-turut.

“Kami sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi perlawanan ini kerana bertemu Kelantan sememangnya sukar. Kelantan pasukan yang kuat tapi saya yakin kami mampu melakar kejayaan sekali lagi.

“Selangor juga mempunyai pemain baru yang berpengalaman seperti Azidan (Sarudin), Fadzli Saari dan Saiful Amar (Sudar). Kehadiran pemain baru pastinya memberi kelebihan kepada kami,” kata Safee yang mahu menikmati kemenangan malam ini sebagai hadiah hari lahir ke-27.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...