Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 24, 2011

Harimau Muda A tanpa tiga tonggak (Kosmo Online)

SKUAD Olimpik Malaysia, Harimau Muda A bakal turun tanpa tiga tonggak utama mereka untuk aksi persahabatan menentang skuad Olimpik Singapura di Stadium Jalan Besar, Singapura pada pukul 7.30 malam ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, tiga pemain yang tidak dibawa untuk berada dalam senarai 18 pemain ke Singapura ialah ketua pasukan, Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

"Izzaq dan Wan Zack mengalami kecederaan sewaktu kita tewas 1-2 kepada skuad Olimpik Thailand pada Khamis lalu manakala Muslim mengadu mengalami kecederaan pangkal paha selepas perlawanan di Bangkok itu.

"Jadi saya tak mahu ambil risiko memandangkan kita mempunyai jadual perlawanan padat apabila Liga Super bermula Sabtu ini dan memilih untuk merehatkan mereka," katanya kepada Kosmo! sebelum berlepas ke Singapura tengah hari semalam.

Bagi melengkapkan senarai 18 pemain untuk aksi malam ini, Kim Swee berkata, dia telah menyenaraikan Faizal Muhamad, Nazirul Naim Che Hashim dan Rafiuddin Roddin yang tidak dibawa ke Bangkok tempoh hari.

"Pada aksi menentang Singapura ini, saya akan beri peluang kepada pemain baru. Menang atau kalah tak begitu penting kerana saya masih mencuba pemain bagi mencari kesebelasan terbaik.

"Apa pun saya tetap mahu mentaliti kemenangan ada dalam diri setiap pemain. Seperti ketika bertemu Thailand, kita boleh main baik untuk mencari gol penyamaan. Cuma kesilapan minit akhir menyebabkan kita tewas.

"Harap pemain dapat tampil dengan agresif yang sama seperti ketika babak kedua bertemu Thailand apabila mereka beraksi terutama seawal babak pertama ketika bertemu Singapura ini," jelas Kim Swee.

Skuad Harimau Muda A turun berlatih menguji cuba menggunakan padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar malam tadi dan Kim Swee menegaskan bahawa tiada alasan bagi pemain untuk tidak berasa selesa beraksi di permukaan padang seumpama itu.

SKUAD 18 PEMAIN HARIMAU MUDA A KE SINGAPURA

Zamir Selamat, Izham Tarmizi Roslan, Affize Faisal Mamat, Amer Saidin, Fadhli Shas, Faizal Muhamad, Mahali Jasuli, Fandi Othman, Nazirul Naim Che Hashim, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Abdul Shukur Jusoh, Irfan Fazail, Rafiuddin Roddin, S. Sivanesan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...