Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Harimau Malaya di Muzium Negara (Berita Harian Online)

2011/01/01

Pameran iktiraf kejayaan skuad kebangsaan

LANGKAWI: Kejayaan pasukan bola sepak negara dan saat kegemilangan pasukan itu menjulang Piala Suzuki AFF 2010 terus diberi pengiktirafan dan kini Jabatan Muzium merancang menganjurkan pameran detik-detik manis kebanggaan itu di Muzium Negara tidak lama lagi.

Pengarahnya Datuk Ibrahim Ismail, ketika mengumumkan pameran khas itu berkata ia juga bertujuan memberi pengiktirafan kepada pasukan itu selepas berjaya mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak selepas menanti 14 tahun untuk menjulang piala itu.
Beliau berkata, pameran itu dijangka akan berlangsung dalam masa tiga minggu dari sekarang selepas semua maklumat dan bahan-bahan pameran diperoleh.

“Penghargaan seumpama ini wajar diberi pengiktirafan dan diwartakan kepada umum dengan lebih jelas dan dekat, khususnya kepada peminat mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Galeria Perdana sempena Program Jom Santai bersama Media dan Pengusaha Pelancongan di sini, semalam.

Pasukan negara muncul juara selepas menewaskan Indonesia dengan agregrat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, dan ekoran kemenangan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan semalam sebagai cuti umum.

Program Jom Santai anjuran Muzium Negara hari ini turut mengetengahkan beberapa pameran dan demonstrasi oleh penduduk tempatan di sini, yang menampilkan juadah seperti bubur asyura, kuih karas, kuih loyang, di samping pameran lukisan tangan dan hasil-hasil kraftangan.
Ibrahim berkata Program Jom Santai selama tiga hari bermula semalam itu dibuka secara percuma kepada semua penduduk sekitar Langkawi. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...