Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 13, 2011

Hanya satu permulaan (Harian Metro Online)


MENCUIT HATI...Najib bermesra dengan pemain negara di Seri Perdana, semalam.
MENCUIT HATI...Najib bermesra dengan pemain negara di Seri Perdana, semalam.

DI SEBALIK pujian diberikan atas kejayaan skuad bola sepak kebangsaan menjulang trofi Piala Suzuki AFF, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada semua pemain bahawa kejayaan itu hanyalah satu permulaan.

Beliau berkata, skuad negara perlu bersedia menggalas misi lebih besar untuk meletakkan Malaysia kembali menjadi kuasa bola sepak Asia serta melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012 dalam masa terdekat ini.

“Saya harap kejayaan ini bukan bersifat sementara tapi sebagai batu loncatan untuk mencapai dua kejayaan lain dalam waktu terdekat.

Dalam jangka masa terdekat ini, kita mahu layak ke Sukan Olimpik London 2012 serta mengembalikan status sebagai kuasa bola sepak Asia,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra meraikan kejayaan skuad kebangsaan di kediaman rasminya di Seri Perdana semalam.

Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri menyampaikan ganjaran RM65,000 kepada setiap 25 anggota skuad Harimau Malaya termasuk pemain dan jurulatih sebagai tanda penghargaan kerajaan di atas kejayaan menjuarai Piala AFF buat kali pertama dengan menumpaskan Indonesia di final menerusi agregat 4-2 bulan lalu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta menteri kabinet.

Menurut Najib, kejayaan yang membangkitkan semangat luar biasa hingga mencetuskan rasa bangga seluruh rakyat Malaysia itu membuktikan skuad kebangsaan mempunyai kemampuan untuk pergi lebih jauh.

“Kita ambil iktibar daripada kejayaan ini bahawa kita tidak boleh jadikan alasan tidak boleh berjaya kerana kalau memiliki keazaman dan keyakinan kita boleh atasi halangan. Mungkin kita memiliki kemahiran tapi kalau tiada semangat juang tak mungkin boleh mencapai kejuaraan,” katanya.

“Kalau dulu kita sering dikaitkan dengan masalah mental pemain tapi kejayaan ini membuktikan Harimau Malaya sudah mempunyai kekuatan mental,” katanya.

Selain itu beliau turut memberi pujian kepada K Rajagobal kerana berjaya membuktikan kewibawaan jurulatih tempatan dalam membentuk skuad muda negara menjadi pasukan yang disegani di rantau ini.

Senario bola sepak tanah air yang sebelum ini suram kembali berubah apabila Malaysia muncul pasukan handal rantau Asia Tenggara dengan memenangi Piala AFF selepas skuad bawah 23 tahun kebangsaan memenangi pingat emas di Sukan Sea Laos 2009.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...