Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 8, 2011

Hairuddin pelengkap 'skuad impian' NS (Utusan Malaysia Online)

Hairuddin Omar

KUALA LUMPUR - Musim lalu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan sering mengeluh dengan kualiti kesebelasan utama dan barisan simpanan skuad Rusa yang jauh berbeza, malah terlalu bergantung harap kepada sentuhan penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak.

Atas faktor itu, Negeri Sembilan sering berputih mata dalam banyak perlawanan, walaupun mencipta banyak peluang di depan gawang lawan.

Bagaimanapun, itu cerita lama. Untuk musim 2011, Hoben Jang Hoben bakal muncul antara skuad yang akan dicemburui lawan, malah tidak keterlaluan untuk menggelarkan pasukan itu adalah 'pasukan impian' buat mana-mana jurulatih.

Negeri Sembilan bakal mendapat sentuhan bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan tiga bekas pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani yang juga penyerang kebangsaan serta bekas penyerang Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan penjaga gol, Farizal Marlias.

Pemain lain yang melengkapkan senarai tujuh muka baru di Negeri Sembilan ialah dua bekas pertahanan KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadzli Idrus serta pemain tinggi lampai PKNS, G. Mahathevan.

''Musim ini saya rasa boleh menarik nafas lega kerana skuad Negeri Sembilan dibarisi ramai pemain yang berpengalaman yang mampu mengubah cabaran serta hala tuju pasukan.

''Paling saya gembira adalah di jentera serangan kerana mendapat sentuhan tiga pemain baru, walaupun Fakri masih belum cergas sepenuhnya sementara Zaquan dijangka akan pulih Mac nanti.

''Apa yang pasti, saya kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk diturunkan, paling penting masalah ketumpulan penyudah yang kami pernah alami pada musim lepas tidak akan berulang kembali, '' katanya ketika dihubungi, semalam.

Musim lalu, Negeri Sembilan gagal menyerlah di peringkat saingan Liga Super, walaupun muncul juara Piala FA dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, ekoran masalah kecederaan pemain utama di samping ketandusan penyudah oleh Zaquan.

Walaupun begitu, Wan Jamak berkata, dia tidak mahu bersikap terlalu selesa, kerana baginya apa yang menjadi keutamaan buat masa ini adalah mahu mencari kombinasi terbaik di antara pemain baru dan lama di dalam pasukan.

''Tugas pertama sebelum perlawanan sepak mula pada 29 Januari ini adalah membentuk keserasian di kalangan muka baru dan lama.

''Tiada guna juga jika skuad ini dibarisi ramai pemain berprofil tinggi, tetapi gagal bermain sebagai dalam satu pasukan, '' ujarnya.

Selain itu, Wan Jamak berkata biarpun Negeri Sembilan menerima kehadiran ramai muka baru, peluang untuk pemain muda di dalam skuad itu tetap terbuka luas, kerana perjalanan liga yang ketat serta melebihi 40 perlawanan.

''Saya akan melakukan perubahan pemain, jika perlu tambahan kami mungkin melalui dua perlawanan dalam masa seminggu.

''Maka peluang buat pemain muda untuk turun beraksi tetap ada bagi mereka mendapat pendedahan sewajarnya dan saya sama sekali tidak akan meminggirkan mereka, '' katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...