Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

Gelora bra laser (Utusan Malaysia Online)

SEGALANYA serba baru buat penulis yang kini berada di Jakarta, Indonesia. Ditugaskan sebagai wakil baru akhbar ini menggantikan Borhan Abu Samah.

Apa lagi permulaan tugas di sini dibuka dengan kegilaan masyarakat negara ini terhadap sukan bola sepak yang mencetuskan fenomena luar biasa membuatkan penulis menyifatkan suasana ini sebagai satu kelainan dalam kerjaya sebagai wartawan kerana selama ini skop tugasan penulis di Malaysia lebih terjurus kepada lapangan hiburan.

Lalu, Jakarta awal-awal lagi sudah menjanjikan penulis iklim baru dalam kewartawanan. Bukan hanya kisah-kisah unik rakyat Indonesia, bahkan juga tentunya banyak lagi benda-benda yang di luar kotak pemikiran penulis akan dilalui.

Maka benar kata teman-teman serta menerusi pembacaan, warna-warni kehidupan masyarakat Indonesia sebetulnya amat menarik dan berbeza dengan budaya kehidupan masyarakat di negara lain.

Biarpun pola kehidupan rakyatnya dipisahkan oleh dua status - kaya dan miskin, namun seperkara yang harus dicemburui oleh orang asing terhadap rakyat negara ini ialah semangat patriotisme mereka yang cukup kental.

Dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, seluruh 236 juta penduduk negara ini memegang kepada prinsip yang sama mencintai negara sama seperti mencintai diri sendiri.

Kerana itu, semasa kerancakan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung baru-baru ini, kita dapat melihat bagaimana sukan berkenaan mengakrabkan lagi hubungan sesama mereka.

Selepas lebih sedekad sukan itu tidak diperkatakan dan mencatat pelbagai rekod buruk, kini gelanggang itu mula menarik perhatian rakyat Indonesia.

Semua ini dapat disaksikan melalui sokongan luar biasa bermula daripada Presiden negara ini, Susilo Bambang Yudhoyono, tokoh-tokoh korporat, penjawat awam sehinggalah penjaga parkir kereta semuanya mendokong skuad Garuda.

Tidak ketinggalan, bola sepak juga mencetus fenomena yang menggelikan hati apabila selebriti di negara ini turut memilih untuk melibatkan diri dan sekali gus menempa kemasyhuran sempena musim baru pertandingan itu.

Semasa demam pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 di sini yang turut dicemari isu insiden pancaran laser, selebriti Indonesia sama naik meluahkan kemarahan.

Menyalahkan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang kononnya didakwa mereka memulakan isu itu menjadi punca mereka mengemukakan idea 'gila'.

Selebriti Julia Perez menghangatkan laporan media massa di sini dengan berkongsi niatnya mahu 'membalas dendam' pada penyokong skuad Malaysia.

Sama ada dia benar-benar marah atau sengaja mahu mencuri perhatian sukar dipastikan tetapi yang didedahkan artis berusia 30 tahun itu ialah asalnya dia berniat mengenakan coli atau bra laser pada final kedua kejohanan bola sepak itu tempoh hari.

Selebriti

Bayangkan seorang selebriti jelita dan seksi seperti Julia Perez atau lebih mesra dikenali sebagai Jupe memakai hanya bra laser dan muncul di tengah-tengah 95,000 penonton.

Tidakkah bergelora Stadium Bung Karno dibuatnya?

Yang hebatnya, Jupe juga sudah menyiapkan tiga helai bra laser yang rekaannya mirip kepada bra yang pernah dipakai oleh artis terkenal Hollywood, Madonna dan Lady Gaga semasa mengadakan konsert.

Idea 'gila' Jupe itu dikongsinya dengan peminat-peminatnya menerusi lama sosial Twitter peribadi artis berkenaan. Dia juga menamakan bra laser itu sebagai Wonder Bra.

Mujur juga Jupe tidak berkesempatan hadir menyaksikan perlawanan itu kerana dia perlu menemani buah hatinya, Gaston Castano yang juga pemain bola sepak Argentina.

Kalau tidak, mahu kecoh pula Stadium Utama Gelora Bung Karno. Cukup-cukuplah dengan kekecohan semasa peminat berebut untuk mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan.

"Itu hanyalah cadangan awalnya. Sayangnya idea untuk memakai bra laser tidak kesampaian kerana aku tidak mahu kosentrasi penyokong Indonesia terganggu hanya kerana bra yang aku pakai. Bimbang juga aku andai peminat pula yang bernafsu melihat aku berpakaian sebegitu," kata Jupe dalam tawa manja saat ditanya kenapa dia tidak hadir menonton perlawanan akhir itu.

Selain Jupe yang obses dengan pasukan kebangsaannya, selebriti lain turut secara terbuka memberi sokongan pada perlawanan bola sepak piala berkenaan baru-baru ini.

Di kalangan selebriti-selebriti itu, kehadiran artis kontroversi, Luna Maya juga mendapat perhatian media massa di sini.

Kehadiran Luna untuk memberi sokongan kepada team Garuda diejek sejumlah kecil peminat sebagai bintang porno. Peristiwa ini terjadi ketika kekasih Ariel Peterpan itu hadir pada final kedua AFF di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu lalu.

Dia yang didakwa terlibat dalam penerbitan video porno bersama Ariel memasuki pintu kenamaan stadium berkenaan dengan ditemani seorang temannya terpaksa menebalkan muka ketika beberapa penonton berteriak ke arahnya dengan kata-kata kasar bernada menghina.

Mengenakan persalinan putih, Luna dilihat begitu terburu-buru memasuki stadium dan dia langsung tidak mengendahkan permintaan media untuk mewawancaranya.

Selain Luna yang terpaksa berdepan dengan rasa malu itu, penyanyi Syahrini misalnya, mendapat liputan meluas daripada wartawan.

Semasa bekas kekasih Anang itu berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menyokong pasukan Garuda beraksi di Stadium Bukit Jalil, salah sebuah stesen televisyen Indonesia menyiarkan sebuah program khusus pengalamannya.

Dalam program itu, Syahrini berkongsi perasaannya mengenai pasukan negaranya, mengkritik sikap penonton Malaysia dan akhirnya terpaksa akur dan menyuarakan rasa sedih kerana Garuda berkesudahan dibaham Harimau Malaya.

Ketika perlawanan final kedua di Jakarta pula yang menyaksikan Indonesia gagal membawa trofi Piala Suzuki AFF 2010, Syahrini memilih untuk pulang lebih awal.

Dia meninggalkan kerusi stadium selepas Malaysia memperoleh jaringan pertama yang dijaringkan oleh striker negara Safee Sali.

"Sepertinya kita (skuad Indonesia) akan kalah," ringkas komen Syahrini ketika ditanya sebab dia meninggalkan stadium sebelum perlawanan tamat.

Artis yang sangat mengagumi pemain pertahanan kiri Garuda, Oktovianus Maniani itu mengakui, dia amat kecewa dengan kekalahan pasukan Indonesia pada kejohanan itu.

Sentimen yang serupa juga dirasakan oleh artis Manohara Odelia Pinot yang menangis apabila menyaksikan trofi Piala Suzuki AFF 2010 dibawa pulang oleh pasukan dari negara bekas suaminya, Tengku Fakhry Petra itu.

Sukan bola sepak ternyata medium terbaik untuk memperkasakan semangat nasionalisme warga di sebuah negara bahkan, ia mampu untuk mengakrabkan hubungan persaudaraan dua buah negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...