Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Garuda akhirnya akur kekalahan kepada Malaysia (Utusan Malaysia Online)

JAKARTA - Selepas ghairah menyiarkan laporan berbaur provokasi, media Indonesia mula menerima hakikat kekalahan pasukan mereka kepada Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki AFF di sini kelmarin, apabila menyiarkan laporan seimbang.

Akhbar Kompas dalam laporan muka depannya menasihati skuad Indonesia agar mengambil pengajaran daripada kejayaan pasukan Malaysia.

Menerusi tajuk berita 'Jangan Malu Untuk Belajar', akhbar berpengaruh itu memberitahu, Indonesia tidak perlu malu belajar daripada kejayaan Malaysia melakar sejarah yang cukup bermakna itu.

Kata akhbar berkenaan juga, kejayaan Malaysia meraih juara Piala Suzuki AFF 2010 disebabkan persiapan awal yang dilakukan pasukan berkenaan.

Kompas juga melaporkan, rasa kecewa terhadap kegagalan tersebut jelas terpancar pada wajah pemain, pengurus dan pengurusan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

"Raut wajah mengungkap sejuta rasa, meskipun para pemain membisu saat berjalan menuju ke bilik persalinan. Para pemain berjalan lesu dengan wajah murung," lapor Kompas.

Bagi akhbar The Jakarta Post pula, kejayaan Malaysia merangkul anugerah tersebut sekali gus mencatat sejarah yang cukup manis bagi negara itu.

"Biarpun Indonesia menang dengan jaringan gol 2-1 kepada Malaysia di gelanggang sendiri, ia masih belum cukup untuk membolehkan Indonesia memenangi kejohanan ini. Sebaliknya, kemenangan Indonesia hanya membuka ruang buat Malaysia melakar sejarah," kata akhbar itu dalam laporan muka depannya hari ini.

Kejayaan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan jurulatih K. Rajagobal itu pula dirumuskan akhbar Media Indonesia sebagai 'mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pasukan yang berjaya di rantau Asia Tenggara'.

"Bagi Malaysia, trofi itu mengukuhkan diri mereka sebagai yang berjaya di Asia Tenggara dalam setahun terakhir setelah pada tahun 2009 mereka meraih pingat emas di sukan SEA," lapor akhbar tersebut.

Akhbar berkenaan juga memberikan pujian terhadap penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi yang disifatkan sebagai bijak menangkis serangan Indonesia.

"Tercatat tujuh kali percubaan tepat ke arah gawang Malaysia, namun kukuhnya gawang yang dijaga oleh Khairul Fahmi menjadikan serangan-serangan pemain Indonesia ibarat cuba menerobos tembok yang kebal," katanya lagi.

Kecemerlangan Khairul turut mendapat perhatian akhbar Jakarta Globe khususnya ketika pemain itu berjaya menepis percubaan pemain Indonesia, Firman Utiman pada tendangan penalti. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...