Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 13, 2011

Ganjaran RM1.625j (Harian Metro Online)

KERINGAT dan pengorbanan 25 anggota skuad Harimau Malaya yang menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Piala Suzuki AFF ternyata berbaloi apabila kerajaan memperuntukkan ganjaran sebanyak RM1.625 juta dalam bentuk saham amanah dan wang tunai buat mereka.

Daripada jumlah itu, pemain dan jurulatih kebangsaan menerima RM65,000 setiap seorang yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis ramah mesra meraikan pasukan juara itu di kediaman rasminya di Seri Perdana semalam.

Ganjaran itu diberikan dalam bentuk unit saham Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 bernilai RM50,000 serta wang tunai RM10,000 manakala RM5,000 pula menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN).

Dalam ucapannya, Najib berkata, kejayaan skuad kebangsaan kendalian jurulatih K Rajagobal itu wajar diiktiraf kerana ia kejayaan yang istimewa.

“Setiap pemain dan jurulatih akan menerima Amanah Saham Wawasan bernilai RM50,000 setiap seorang. Ganjaran ini adalah untuk masa depan mereka, kena tunggu sampai 10 tahun (tempoh matang).

“Kejayaan menjuarai Piala AFF bukan sebarang kejuaraan, walaupun banyak lagi kejohanan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia tetapi kejayaan ini mencetuskan semangat patriotisme luar biasa di kalangan rakyat. Bila menang memang rasa nak menitiskan air mata,” kata beliau yang mengikuti setiap perkembangan skuad kebangsaan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Pada majlis itu, semua pemain dan jurulatih hadir kecuali pemain sayap Mohd Ashaari Shamsuddin yang berada di Terengganu untuk bersama isterinya menantikan kelahiran cahaya mata pertama.

Malaysia menjuarai Piala AFF buat julung kalinya sejak dianjur pada 1996 dengan menumpaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 selepas menang 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta.

Selain itu, Najib turut menyuarakan kesudian kerajaan untuk memberikan sokongan penuh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam membentuk pasukan negara lebih mantap.

Sebagai permulaan, kerajaan bersedia membiayai program latihan pemain negara ke kelab ternama serta memberikan peruntukkan RM500,000 menerusi Kementerian Belia dan Sukan kepada FAM untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya untuk kegunaan pemain.

“Kerajaan bersedia menaja pemain bagi ditempatkan ke kelab ternama pada masa depan dan terserah kepada FAM untuk memilih kelab sesuai,” kata Najib.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...