Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Ganjaran istimewa menanti pemain (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Ganjaran khas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hasil kejayaan skuad negara menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama, kelmarin, akan diumumkan oleh Presidennya, Sultan Ahmad Shah, apabila baginda kembali dari luar negara, Isnin ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata kepada Utusan Malaysia, baginda telah memaklumkannya kepada seluruh anggota skuad negara selepas perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu yang dimenangi anak buah K. Rajagobal itu, 3-0.

"Biarlah Tuanku Sultan yang mengumumkan jumlah atau bentuk ganjaran itu sekembalinya baginda ke tanah air, 3 Januari ini," katanya sekembalinya dari Jakarta bersama skuad negara menerusi penerbangan MH0710 kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Mengenai kedudukan ketua jurulatih K. Rajagobal, yang mungkin diteruskan bersama skuad Bawah 23 negara ke Sukan SEA Indonesia 2011, katanya: "Biarlah saya tidak mengulas apa-apa, kerana ia terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah."

Pengurus pasukan negara, Datuk Subahan Kamal pula menyarankan supaya satu anugerah khas atau pingat kebesaran dikurniakan kepada ketua jurulatih, Rajagobal atas jasanya menerajui pasukan mengukir sejarah kedua bola sepak Malaysia, selepas membawa pulang pingat emas Sukan SEA Laos 2009.

"Bagi seluruh anggota pasukan negara, saya turut berharap kerajaan dapat menghadiahkan ganjaran tertentu yang kalau boleh, dalam bentuk wang atas kejayaan bersejarah ini (selain ganjaran penganjur kejohanan selaku juara Piala Suzuki AFF (RM300,000)," kata Naib Presiden FAM ini.

Rajagobal pula berkata: "Satu pengalaman (perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta) yang sukar dilupakan kerana (selain membawa skuad negara bergelar juara kali pertama) terpaksa menaiki kereta perisai untuk ke sana, sebelum perlawanan."

Bagi bek tengah negara, Mohamad Muslim Ahmad terkejut bercampur terharu apabila menyaksikan ribuan peminat bola sepak negara hadir menyambut ketibaan mereka sepasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, semalam.

"Saya tidak menyangka bila melihat kami disambut sebegitu hebat di KLIA, namun dengan kejayaan dan penghargaan ini, saya rasa kami mampu menjadikannya pendorong dalam meningkatkan mutu permainan dan pencapaian kami.

"Kejayaan dalam Piala Suzuki AFF 2010 ini saya tujukan kepada seluruh warga bola sepak negara, di samping keluarga dan rakan yang tidak putus-putus memberikan sokongan," katanya.

Namun, Azzuddin yang kagum dengan kehadiran penyokong skuad Harimau Malaya menganggap aura bola sepak negara lebih terasa ketika menyaksikan sokongan padu lebih 80,000 peminat di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam perlawanan akhir pertama, Ahad lalu.

"Saya kagum dengan sambutan peminat di KLIA ini, tetapi saya lebih terasa aura bola sepak negara dan kebangkitan sukan ini sejak di Bukit Jalil lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...