Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 3, 2011

Fergie ramal Rooney bertambah garang (Utusan Malaysia Online)


pemain Manchester United, Wayne Rooney (kiri) dihalang pemain West Bromwich, Youssouf Mulumba pada aksi Liga Perdana England di Hawthorns, kelmarin. - Reuters


WEST BROMWICH - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya Wayne Rooney akan meneruskan sentuhan jaringannya, selepas penyerang itu memulakan aksi 2011 dengan menamatkan kemarau gol.

Penyerang England itu hanya memerlukan dua minit 15 saat untuk menemui kembali sentuhannya pada perlawanan yang menyaksikan pasukannya menang 2-1 ke atas West Bromwich Albion.

Jaringan tersebut adalah gol ketiganya musim ini.

Ferguson cukup teruja dengan persembahan Rooney, selepas pemain itu membantu gerakan gol kemenangan United pada minit ke-75, dengan melakukan hantaran dari sepakan sudut yang ditanduk masuk oleh pemain gantian Mexico, Javier Hernandez.

"Dia telah mempamerkan satu permainan yang luar biasa. Dia menjadi 'pemandu arah' kepada pasukan ini. Saya amat berpuas hati dengan Wayne.

"Dia berjaya menjaringkan gol dan dia kini kembali menyengat. Saya harap dia dapat meneruskan sentuhan jaringannya,'' kata Ferguson.

Kemenangan tersebut turut mengekalkan United pada kedudukan teratas Liga Perdana, menerusi perbezaan gol dengan Manchester City, yang mengalahkan Blackpool.

Ferguson, yang mengakui kejayaan itu merupakan kemenangan kedua United di tempat lawan dalam aksi liga musim ini, amat signifikan dengan perjuangan mereka untuk merebut kembali gelaran daripada Chelsea.

"Ini merupakan keputusan yang amat penting buat kami. Kami perlu bertarung untuk mencatat kemenangan dan perlawanan ini merupakan salah satu daripadanya.

"Untuk berlaku adil kepada para pemain, walaupun segelintir mereka tidak beraksi baik, mereka tetap berjuang untuk meraih kejayaan,'' katanya.

Kenyataannya itu turut dipersetujui oleh pertahanan, Rio Ferdinand yang berkata: "Anda perlu mencatat kemenangan. Saya tidak peduli bagaimana kami menang. Apa yang penting ialah kutipan tiga mata yang perlu diambil kira.

"Anda perlu berusaha keras untuk perlawanan ini dan permainan seumpama ini akan anda hadapi dalam setiap aksi liga."

Kenyataan Ferdinand dibuktikan apabila dua sepakan penalti di Howthorns, yang mana penalti pertama Baggies dinafikan oleh pengadil, Chris Foy ketika pemain pertahanan United, Gary Neville jelas menjatuhkan Graham Dorrans di dalam kotak penalti ketika perlawanan terikat 1-1.

Foy kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti selepas Ferdinand melakukan kekasaran ke atas Jerome Thomas, namun Peter Odemwingie mengecewakan penyokong, apabila sepakan pemain itu tersasar.

Ferguson mengakui pasukannya bernasib baik kerana terlepas daripada penalti pertama, yang sepatutnya turut menghasilkan kad merah buat pemain pertahanan kanan veteran, Neville.

"Ia sepatutnya penalti. Amat sukar untuk pengadil membuat keputusan. Gary sewajarnya dihukum setelah saya menyaksikan ulang tayang kerana dia membentes kaki pemain lawan,'' katanya.

Pengurus West Brom, Roberto di Matteo, yang menyaksikan pasukannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan voli, James Morrison, ternyata kesal dengan kegagalan Foy memberikan penalti, ekoran kekasaran Neville.

Jurulatih dari Itali itu berpendapat, keputusan tersebut bakal mengubah keputusan perlawanan.

"Ia cukup jelas adalah penalti. Semua orang menyaksikannya kecuali individu utama yang sewajarnya nampak insiden tersebut. Ia sudah tentu akan mengubah keputusan perlawanan,'' katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...