Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

FAM umum penaja baru hari ini (Kosmo Online)

PENAJA baru bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2011 akan diumumkan secara rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) yang menggantikan Dunhill selaku penaja utama Liga M sejak musim 2004 akan berakhir pada 26 Januari ini dan ia tidak akan diperbaharui.

Maka saingan terunggul bola sepak tempatan itu bakal mengalami penjenamaan baru dengan tampil mempamerkan label penaja baru menggantikan TM.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman siapakah yang akan menjadi penaja utama Liga M 2011 hanya akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini.

“Esok (hari ini) kita ada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang akan dipengerusikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Dalam mesyuarat itu nanti, kita akan memuktamadkan hal penaja baru ini,” katanya pada Majlis Taklimat dan Undian Liga M 2011 di Bukit Jalil petang semalam.

Desas-desus mengatakan bahawa syarikat telekomunikasi terkemuka, Maxis bakal menjadi penaja baru Liga M bermula musim 2011 tetapi sejauh mana kebenarannya hanya akan terjawab hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, terdapat tiga stadium tidak memenuhi kriteria pencahayaan lampu limpah manakala dua lagi stadium menghadapi masalah bilik persalinan pemain.

“Tiga stadium yang mempunyai kecerahan lampu limpah yang kurang daripada 800 lux ialah Stadium Sultan Muhammed Ke-IV (Kota Bharu), Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Kuala Terengganu) dan Stadium JCorp (Pasir Gudang).

“Surat amaran telah diberi kepada pihak terbabit dan kita akan buat pemeriksaan kedua pada 6 Januari ini. Jika masih belum diperbaiki, tindakan akan diambil,” tegas Hamidin.

Jelas Hamidin lagi, pengumuman mengenai hala tuju Liga M 2012 yang bakal menampilkan banyak perubahan termasuk kemungkinan kemasukan pemain import dan formatnya akan dibuat dalam tempoh dua bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...