Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 20, 2011

FAM tak minat (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Tan Sri Annuar Musa bukan
Tan Sri Annuar Musa bukan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih berminat menumpukan soal pembangunan bola sepak negara daripada berbicara untuk mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia secara bersama dengan sekutu Asean.

Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak berhak memberikan cadangan, namun bagi FAM, mereka tidak pernah terfikir menjadi tuan rumah kejohanan terbesar empat tahun sekali anjuran Fifa itu.

“Kami (FAM) tidak tahu apa-apa mengenai cadangan membida Piala Dunia dan perkara ini tidak pernah dibincangkan sebelum ini. Saya berpendapat lebih bagus kerajaan jadikan bola sepak sebagai agenda nasional dan mendapatkan kesepakatan negara Asean lain dalam merangka program jangka panjang pembangunan bola sepak dan bukannya memikirkan soal menjadi tuan rumah Piala Dunia.

“Negara Asean masih ketinggalan dalam aspek pembangunan bola sepak dan ini terbukti apabila tidak ada pasukan rantau ini yang layak ke Piala Asia. Kita sebenarnya lebih banyak bercakap tentang bola sepak tapi satu kertas kerja pembangunan bola sepak pun tidak ada.

“Saya tidak cakap cadangan ini tidak boleh dilakukan tapi lebih baik kita tumpukan kepada soal pembangunan bola sepak negara yang ketika ini masih tidak tersusun, padang bola sepak pun tidak boleh diuruskan, stadium bola sepak pun tidak mengikut standard berbanding negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang pernah menganjurkan Piala Dunia sebelum ini.

“Pada saya, kami akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat perkara ini,” katanya kepada Arena Metro semalam

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dalam Arena Metro sebelum ini yang mengumumkan kesediaan Asean untuk mendapatkan hak selaku tuan rumah Piala Dunia 2030 selepas menghadiri mesyuarat bersama rakan sejawatnya di Lombok, Ahad lalu.

Anifah berkata, menerusi kesepakatan yang dicapai, Malaysia diberi mandat menyediakan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada pemimpin 10 negara Asean pada sidang kemuncak di Jakarta Mei depan.

Tambah beliau, antara cadangan awal yang dikemukakan adalah membentuk satu pasukan terbaik Asia Tenggara dan memberikan peluang kepada setiap negara Asean menganjurkannya secara bersama.

Untuk itu, Anifah yang juga bekas Naib Presiden FAM akan meminta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bekerjasama dengan FAM sebelum duduk semeja bersama anggota Asean lain bagi menyediakan kertas kerja bidaan itu.

Bagaimanapun, Annuar mengingatkan proses bidaan hanya boleh dilakukan persatuan bola sepak negara masing-masing dan tidak membabitkan campur tangan kerajaan.

“Kalau menyentuh soal bidaan Piala Dunia ia memerlukan kaedah tertentu dan pihak yang boleh membuat bidaan adalah badan induk bola sepak negara dan bukannya kerajaan.

“Bidaan tidak boleh dibuat oleh kerajaan dan campur tangan politik ini boleh mengundang masalah kepada persatuan bola sepak kerana melanggar peraturan Fifa,” katanya.

Menurut Annuar, proses mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia bukan mudah dan akan bertambah rumit apabila membabitkan penganjuran banyak negara.

“Bukan mudah menganjurkan lebih daripada dua negara, penganjuran ini membabitkan semua negara Asean, bagaimana pula kita boleh membentuk satu pasukan untuk mewakili negara-negara ini? “Qatar akan menjadi penganjur Piala Dunia pada 2022 dan untuk Asia mendapatkan hak pada dua penggal berikutnya bukan mudah. Proses bidaan memakan belanja yang besar, lihat saja berapa banyak duit dihabiskan Qatar, England dan negara lain baru-baru ini, setiap bidaan pula tidak semestinya berjaya,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...