Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 27, 2011

FAM kaji bayaran penampilan pemain (Utusan Malaysia Online)

PETALING JAYA - Jika mendapat kelulusan pada mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Persatuan Bola Sepak (FAM) pada 13 Februari ini, setiap pasukan yang beraksi dalam perlawanan Liga Super yang disiarkan secara langsung di televisyen, akan menerima bayaran penampilan.

Selain itu, satu lagi syor yang akan dibentangkan dalam mesyuarat yang bakal dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah nanti, iaitu kemungkinan setiap pasukan menerima imbuhan mengikut ranking terakhir masing-masing dalam tangga liga apabila berakhirnya saingan.

Ini bermakna, pasukan tercorot yang menghuni tangga ke-14 liga pun tetap akan menerima bayaran mengikut skala yang ditetapkan.

Jumlah imbuhan wang tunai yang diperuntukkan bagaimanapun tidak dinyatakan kerana ia masih di peringkat perancangan.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, ia merupakan syor yang difikirkan baiknya untuk memberi ganjaran berdasarkan merit sesebuah pasukan.

Tegas Annuar, meskipun FAM mendapat tajaan lumayan bernilai RM120 juta daripada Astro untuk tempoh empat tahun, pihaknya tidak bercadang untuk sewenang-wenangnya mengagihkan geran tahunan dalam jumlah besar sekaligus.

"FAM mungkin ada banyak duit sekarang, tapi ini tidak bermakna kalau tahun lepas kita berikan subsidi RM300,000, tahun ini kita bagi terus RM1juta...tidak, bukan begitu.

"Kita nak bagi, tapi secara berkaedah. Kaedahnya iaitu berdasarkan merit, mengambil kira ranking dalam Liga Super, berapa penampilan dalam siaran langsung dan apa-apa saja program yang dilakukan sesebuah negeri atau kelab itu menambah baik liga dan bola sepak tempatan."

Annuar memberi jaminan, geran tahunan yang bakal dinikmati semua pasukan bertanding dalam Liga Super, tidak akan mendapat kurang daripada tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...