Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 6, 2011

Fadhli Shas idam Harimau Muda juara (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Dalam usia semuda 19 tahun, Mohd. Fadhli Shas telah mengukir nama dalam sejarah bola sepak negara, apabila membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF buat pertama kali, baru-baru ini.

Selepas mempamerkan sentuhan hebat pada kejohanan tersebut, Mohd. Fadhli mengakui dia semakin bersemangat untuk memburu kejuaraan Liga Malaysia bersama Harimau Muda A.

Bukan mahu bersikap terlalu yakin, cuma Fadhli melontarkan keyakinan bahawa skuadnya mampu mencabar kejuaraan Liga Super dan Piala FA.

''Semua pemain bersama dalam tempoh yang agak lama, ditambah pula dengan pendedahan di Slovakia, maka persefahaman jelas begitu mantap.

''Ini memberikan kelebihan besar buat kami berbanding pasukan lain, yang mungkin melakukan perubahan pemain pada setiap musim.

''Saya yakin kami boleh menggapai kejuaraan Liga Super musim ini dan buat pasukan lain, jangan memandang rendah kemampuan kami,'' katanya.

Skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee akan membuka tirai saingan Liga Super menentang pasukan pilihan musim ini, Negeri Sembilan di Stadium Paroi pada 29 Januari.

Harimau Muda A pastinya digeruni pada saingan musim ini kerana membariskan enam tonggak yang membantu skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Selain Fadhli, Mohd. Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, K. Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Muhammad, turut berada di dalam senarai 30 pemain Harimau Muda yang akan memberikan saingan kepada 13 pasukan lain di Liga Super dan Piala FA.

Barisan pertahanan Harimau Muda akan dibarisi tiga pemain yang berada di dalam kesebelasan utama skuad negara iaitu Fadhli, Mahalli dan Muslim.

Fadhli, yang baru mendaftarkan diri menjalani latihan di Wisma FAM kelmarin, berkata, tumpuan utamanya pada tahun 2011 adalah untuk membantu Malaysia melangkah jauh dalam kelayakan Sukan Olimpik 2012.

''Berdepan Pakistan pada 23 Februari nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil, saya harap sokongan padu daripada peminat ketika kami beraksi.

''Kami akan cuba sedaya upaya untuk melangkah jauh dan berazam untuk mencatatkan satu lagi sejarah bola sepak negara,'' katanya.

Skuad Harimau Muda A akan ke Doha untuk perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar pada 20 Januari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...