Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 2, 2011

'Durian runtuh' (Harian Metro Online)

KUALA TERENGGANU: Enam pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang mewakili Malaysia sehingga menjulang Piala AFF menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri mengumumkan setiap pemain diberi RM5,000 dan sebidang lot tanah.

Mereka yang menerima imbuhan itu ialah dua pemain Liga Super Terengganu, Mohamad Ashari Samsuddin, 25, dan Mohd Sarbinee Allawee Ramli, 24, tiga pemain Harimau Muda A, Mohd Muslim Ahmad, 21, Izzaq Faris Ramlan, 20, dan Mohd Faizal Muhammad, 21, serta seorang pemain Liga Super Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, 24.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, imbuhan diberikan sebagai penghargaan selepas menjulang Piala AFF buat kali pertama dan mengharumkan negara di pentas antarabangsa.

“Saya sangat terharu dan bangga apabila mendapat tahu enam anak kelahiran Terengganu berada dalam pasukan Malaysia dan menjuarai Piala AFF, sekali gus menamatkan penantian kemarau selama 14 tahun,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, semalam.

Beliau berkata, imbuhan yang diberi kepada enam pemain berkenaan adalah suntikan semangat kepada bakat muda negeri ini dalam bidang sukan untuk memberi persembahan terbaik, seterusnya mewakili negara pada masa akan datang.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengenal pasti tanah yang akan diberi kerana pembahagian lot tanah kepada pemain itu mengikut daerah tempat tinggal mereka.

Dalam kejohanan itu, Malaysia muncul juara Piala AFF buat julung kali selepas menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan akhir timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, imbuhan yang diumumkan Menteri Besar melambangkan kerajaan negeri sangat prihatin terhadap pemain yang mengharumkan nama negara ini di pentas antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...