Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 3, 2011

BolaShebbie: Cabaran kita baru bermula (Harian Metro Online)

RASANYA belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca Harian Metro, akhbar yang ramai pembaca dan disegani.

Tahun 2011 bakal menjanjikan tahun mencabar untuk sukan bola sepak di negara kita. Ini kerana kita akan beraksi mempertahankan pingat emas Sukan Sea yang dimenangi di Laos, dua tahun lalu. Seterusnya, sebagai langkah mengukuhkan pembangunan bola sepak, kita harus mengemukakan pemain yang baru untuk mempertahankan pingat emas itu.

Walaupun ada pemain yang masih layak beraksi di peringkat umur itu, kita harus meneruskan pembangunan untuk memantapkan lagi skuad kebangsaan yang muncul juara Piala AFF Suzuki 2010.

Seperti mana diramalkan dalam kolum ini minggu lalu, pasukan Indonesia terbenam di Kuala Lumpur dengan persembahan terburuk mereka. Kebangkitan pasukan lawan itu di Jakarta harus diambil sebagai iktibar kerana kekalahan ini menimbulkan beberapa soalan.

Pasukan kebangsaan kita terus lemah selepas pemain tengah bertahan, Amar Rohidan dikeluarkan. Mungkin atas sebab kecederaan tapi ketiadaan pemain itu meninggalkan satu jurang yang besar di bahagian tengah mahupun di depan barisan pertahanan.

Pemain ini bagi saya adalah ‘wira yang tidak didendang’ (unsung hero), tapi pemain paling berpengaruh dengan ketenangan serta kebolehannya membaca pergerakan lawan.

Kita memerlukan seorang lagi pemain seperti Amar untuk bertindak sebagai gantian agar prestasi pasukan Malaysia tidak turun mendadak.

Pemilihan pemain Indonesia, Firman Utina sebagai Pemain Terbaik amat melucukan. Pemilihan ini sekadar pilihan politik di depan Presiden Indonesia yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu.

Pemain Terbaik sepatutnya menjadi milik Safee Sali dengan golnya mencipta kejayaan sebenar buat negara. Pemain yang paling mempunyai skil dan menyuntik rasa gerun lawan adalah Norsharul Idlan Talaha. Setiap kali pemain ini mempunyai bola, dia begitu yakin dan berjaya menampilkan gelecekan yang membawa hasil.

Pasangan bek tengah, Mohamad Muslim dan Mohamad Fadhli Shas begitu kental dan berani dan kita memerlukan sekurang kurangnya dua lagi pemain seperti mereka.

Kita juga harus mencari pengganti sekiranya Safiq Rahim mengalami kecederaan atau digantung bermain.

Saya berharap dalam keghairahan menjadi juara Asean, kita terus mengambil langkah untuk menyediakan pasukan kebangsaan yang lebih kukuh serta pembangunan sistematik jangka panjang.

Tahniah diucapkan buat ketua jurulatih, K Rajagobal kerana berani dengan pemilihan pemain serta percaturan taktik yang membawa kejayaan ini. Biarlah kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 ini menjadi langkah pertama ke arah pembentukan sebuah pasukan yang disegani sekali lagi.

Bagi skuad negara, cabaran sebenarnya baru saja bermula!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...