Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 20, 2011

Bida Piala Dunia tanpa campur tangan kerajaan (Sinar Harian Online)


CADANGAN negara-negara ASEAN untuk membida penganjuran Piala Dunia pada 2030 mesti dikemukakan oleh persatuan bola sepak induk negara masing-masing tanpa campurtangan pihak kerajaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa menyatakan demikian berikutan cadangan Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini berhubung pembidaan tersebut.

Beliau yang menyifatkan cadangan itu lebih kepada ‘keputusan politik antara negara ASEAN’ berkata, prosedur cadangan pembidaan itu sendiri tidak menepati peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Mengikut peraturan FIFA, cadangan pembidaan harus dikemukakan oleh persatuan bola sepak induk sesebuah negara dan disokong oleh pihak kerajaan dan bukannya pihak kerajaan mengarahkan persatuan untuk membuat bidaan,” katanya mengulas mengenai cadangan Menteri-Menteri Luar ASEAN yang bersidang di Lombok, Indonesia pada Ahad yang memberi mandat kepada Malaysia untuk menyediakan kertas kerja berhubung proses pembidaan tersebut.

Menurut Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi tanggungjawab untuk berbincang dengan FAM berhubung penyediaan kertas kerja tersebut.

“Piala Dunia menjadi rebutan negara-negara yang bergabung dengan FIFA dan bukannya gabungan negara-negara. Tidak pernah berlaku ada gabungan negara-negara bertanding pada temasya tersebut.

“Ketika Jepun dan Korea Selatan menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002, masing-masing menghantar pasukan sendiri dan bukan gabungan kedua-dua negara,” katanya.

Ditanya adakah FAM menolak cadangan pembidaan itu walaupun menerima arahan dari KBS, Annuar berkata persatuan tersebut akan meneliti terlebih dahulu semua aspek peraturan FIFA.

“Kita bekerjasama rapat dengan KBS tetapi perlu meneliti kewajaran pembidaan tersebut terlebih dahulu berdasarkan peraturan FIFA,” katanya.

Annuar yang mahu bersikap lebih realistik berkata cadangan liga bola sepak di kalangan negara-negara Asean sendiri belum menjadi kenyataan.

Brazil akan menganjurkan Piala Dunia 2014, Russia (2018) dan Qatar (2022) sementara tuan rumah pada 2026 dan 2030 belum dipilih. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...