Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, January 18, 2011

Barca enggan dibuai selesa (Kosmo Online)


DAVID VILLA


MADRID - Barcelona kini mengatasi pencabar terdekatnya, Real Madrid dengan kelebihan empat mata selaku pendahulu Liga Sepanyol. Awal pagi semalam, kelab Catalan itu meraih tiga lagi mata berharga selepas mudah membenam Malaga 4-1 manakala Real sekadar seri 1-1 dengan Almeria.

Selesa mendahului 3-0 menerusi jaringan Andres Iniesta pada minit kelapan, David Villa (18) dan Pedro (36), Malaga merapatkan kedudukan hasil ledakan Duda (68).

Bagaimanapun, Villa mengakhiri sisa-sisa perjuangan Malaga apabila meledak gol keempat Barca pada minit ke-74.

"Adalah tidak wajar untuk terlalu berbicara tentang jurang empat mata ini kerana pada peringkat ini ia bukanlah sesuatu yang besar.

"Saingan liga masih panjang dan kami juga berkemungkinan boleh tercicir mata. Apa pun kami akan terus mengambil risiko untuk beraksi dengan gaya permainan kami ini.

"Adalah penting untuk kami terus bekerja keras dan memberi fokus terhadap perlawanan kami," kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.

Sementara itu, jaringan Esteban Granero pada minit ke-77 menyelamatkan Real daripada mengalami kekalahan setelah mereka ketinggalan menerusi Jose Ulloa pada minit ke-60.

Ternyata Real begitu merasai ketiadaan penyerang mereka, Gonzalo Higuain yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.

"Kami keciciran dua mata tetapi secara keseluruhannya, kami telah melakukan yang terbaik sepanjang separuh pertama saingan musim ini.

"Kami masih mahu muncul juara liga dan bukan semata-mata mencari keputusan terbaik.

"Jadi kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku bermula dari sekarang," kata jurulatih Real, Jose Mourinho.

Pengendali Real itu turut berang dengan pengadil perlawanan yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya.

"Saya harap (pengadil) Perez Lasa tidak akan dipilih mengadili perlawanan kami lagi selepas ini dan juga perlawanan Barcelona. Saya kenal dia sejak 1996 dan untuk 2011, dia tetap Lasa yang sama," ujarnya. - AFP

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...