Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Bapa Safee cadang buat kenduri kesyukuran (Utusan Malaysia Online)

TAPAH - Bapa pemain bola sepak negara, Mohamed Sali Mian, 64, bercadang mengadakan kenduri kesyukuran bagi menyambut kepulangan anaknya, Safee Sali ke rumahnya di Jalan Temoh, di sini.

Katanya, kenduri itu sebagai meraikan kejayaan Safee sebagai Penjaring Terbanyak Piala Suzuki AFF 2010.

Bagaimanapun, katanya, tarikh kenduri tersebut belum dapat ditetapkan kerana menunggu kepulangan Safee.

"Saya ada hubungi Safee semalam, tetapi dia memberitahu tidak dapat pulang dalam tempoh terdekat, kerana hendak ke Australia bersama pasukan Selangor.

"Safee mempunyai jadual yang ketat dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak negara," katanya di sini, semalam.

Mohd. Safee Sali melakar kejayaan sebagai Penjaring Terbanyak Piala Suzuki AFF, yang berakhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin.

Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama sejak kejohanan ini diperkenalkan sejak 1996 (nama asal Piala Tiger) setelah menang agregat 4-2 ke atas Indonesia biarpun tewas 2-1 dalam perlawanan akhir kedua itu.

Mohamed Sali berkata, dia bangga kerana kebolehan anaknya itu menjaringkan gol pertama pada pertemuan dengan Indonesia itu.

"Saya juga gembira dengan kejayaan Safee menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan Piala Suzuki AFF," ujarnya gembira dengan kejayaan anaknya membantu pasukan Harimau Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF tahun ini.

Mohd. Safee merupakan anak kelapan dari 12 adik beradik.

Ditanya mengenai corak permainan anaknya yang dikatakan sama dengan legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari, Mohamed Sali berkata, walaupun permainan Safee tidak sama dengan Mokhtar, dia percaya Safee boleh mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

"Corak permainan pantasnya itu memberikan satu kelebihan kepada Safee untuk melakarkan nama dalam lagenda bola sepak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...