Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, January 13, 2011

Bahana curi pemain ditentukan 26 Januari (Harian Metro Online)

NASIB lapan pemain daripada dua pasukan negeri dan sebuah kelab yang hangat diperkatakan mengenai isu ‘curi pemain’ baru-baru ini, akan ditentukan pada 26 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain dan Perpindahan Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa sudah bermesyuarat untuk menyiasat aduan dibuat tiga pasukan mengenai pemain dicuri pasukan lain.

Katanya, kesemua pemain yang dimaksudkan itu ialah Azidan Sarudin dari Kuala Lumpur yang dikatakan dipancing Selangor dan empat pemain kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menyarung jersi Negeri Sembilan, membabitkan Mohd Alafi Mahmud, G Mahderan, A Vanathan dan Muhamad Saufi Muhamad Ibrahim.

Selain itu, katanya, tiga lagi pemain yang hangat diperkatakan ialah pemain Kelantan yang membabitkan Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Mohamed dan Azizi Matt Rose. Mereka akan beraksi untuk T-Team musim ini.

“Tiga aduan daripada tiga pasukan itu membabitkan pemain yang sudah diikat kontrak bagi menghadapi saingan musim ini, dipancing pasukan lain.

“Isnin lalu, jawatankuasa status pemain dan perpindahan FAM sudah bermesyuarat bagi meneliti dan menyiasat dakwaan tiga pasukan itu,” katanya kepada wartawan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Bagi dakwaan itu, pihaknya tidak mendengar kes terbabit, namun mengambil keputusan memberi tempoh 14 hari kepada pemain dan pasukan terbabit menyelesaikan kemelut itu.

Mengenai proses siasatan itu, Takiyuddin berkata, pihaknya memberikan tempoh tujuh hari untuk memasukkan akuan bersumpah mengenai dakwaan dibuat tiga pasukan itu.

“Selepas akuan itu diserahkan, FAM akan menyerahkan kepada pemain untuk afidavit jawapan dalam masa tujuh hari berikutnya sebelum keputusan diumum pada 26 Januari, tiga hari sebelum musim ini bermula,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Majlis Kafa berkata, antara bentuk hukuman membabitkan penggantungan, denda serta amaran akan dikenakan kepada pemain sekiranya didapati bersalah.

“Kepada pasukan yang didakwa mencuri pemain, mereka juga boleh dikenakan denda yang akan ditentukan jumlahnya oleh jawatankuasa ini. Pegawai dan pasukan yang terbabit juga boleh dikenakan penggantungan selama setahun serta diberikan amaran.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...