Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Ayah nasihat Khairul Fahmi usah lupa diri (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - "Jangan mudah lupa diri, sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi potensi yang ada dalam diri untuk terus berjaya pada masa hadapan."

Itulah harapan dan nasihat seorang ayah, Che Mat Hussain, 58, kepada anaknya, Khairul Fahmi, 21, yang merupakan penjaga gol utama pasukan kebangsaan dan Kelantan.

Menurut Che Mat, seluruh ahli keluarga bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan 'Pak Su' di kalangan keluarga, selepas berjaya membantu Harimau Malaya bergelar juara buat kali pertama pada Piala Suzuki AFF 2010.

"Kami semua terkejut dengan apa yang telah ditunjukkan olehnya sepanjang tahun ini, mungkin ini rezeki buatnya untuk terus maju dalam bola sepak.

"Kejayaan ini adalah berkat usaha dan displin yang tinggi yang ditunjukkan serta semangat tidak mudah putus yang ada dalam dirinya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dusun Raja, Cherang di sini, semalam.

Tambahnya, setiap kali sebelum beraksi, Khairul Fahmi, anak keempat daripada lima adik-beradik akan mengubunginya terlebih dahulu untuk meminta restu.

"Setiap menghubungi saya dan ibunya supaya mendoakan keselamatannya," ujarnya, yang bekerja sebagai pemandu van kilang.

Utusan Malaysia melaporkan persembahan cemerlang penjaga gol Malaysia itu, bukan sekadar menarik peminat baru ke akaun Facebooknya, malah menempatkan Khairul Fahmi di kedudukan kelima tertinggi di seluruh dunia bagi trend terkini rangkain sosial Twitter.

Menyentuh mengenai minat Khairul Fahmi terhadap bola sepak, Che Mat memberitahu ia bermula ketika anaknya itu berumur lapan tahun, dan apa yang menarik ialah dia hanya beraksi sebagai pengaja gol sahaja.

"Sejak kecil lagi, dia cukup minat dengan posisi tersebut dan mula beraksi bersama pasukan sekolahnya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, Kota Bharu ketika berumur 12 tahun.

"Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) Johor Bharu dan kemudianya berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Che Mat memberitahu, sambutan besar-besaran akan diadakan oleh penduduk kampung dengan kerjasama wakil rakyat untuk menyambut kepulangan Khairul Fahmi.

"Majlis akan dijalankan pada 3 Januari ini dengan perarakan sepuluh buah kereta pacuan empat roda dan 30 buah motosikal yang akan bermula di lapangan terbang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...