Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, January 31, 2011

Aksi Safee longlai (Harian Metro Online)

BELAJAR dari kekalahan. Harapan itu disuarakan ketua jurulatih Selangor, K Devan selepas skuad Merah Kuning itu bermula dengan langkah kiri pada perlawanan pembukaan Liga Super 2011 kelmarin.

Selain gagal meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri menentang pesaing utama, Selangor juga gagal mencatatkan hatrik untuk meraih gelaran ketiga berturut-turut Piala Sultan Ahmad Shah.

Devan yang kecewa dengan kekalahan 2-0 itu menyifatkan ada pemain gagal mempamerkan persembahan yang sepatutnya.

“Ada pemain tidak memberikan persembahan sebenar terutamanya beberapa pemain kebangsaan yang baru kembali daripada aksi cemerlang di Piala Suzuki AFF. Mereka tidak memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan Sumbangsih itu.

Pada perlawanan itu kapten kebangsaan Mohd Safiq Rahim yang juga pemain tengah Selangor terpaksa dikeluarkan selepas tamat aksi babak pertama selain penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF Mohd Safee Sali yang gagal menembusi gawang Khairul Fahmi Che Mat.

Devan bagaimanapun tetap memuji persembahan keseluruhan pasukannya dengan menyatakan, mereka menguasai permainan terutama pada separuh masa kedua namun nasib tidak menyebelahi.

“Dua gol dihasilkan Kelantan berpunca daripada sepakan percuma. Barisan pertahanan kami tidak dibolosi oleh lawan,” katanya yang pertama kali menggandingkan Mohd Asraruddin Putra Omar dan Yosri Derma Raju di pertahanan tengah.

Pada perlawanan itu, Kelantan membuka jaringan seawal minit kelapan permainan melalui sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha selepas Nurul Azwan Roya dijatuhkan Mohd Razman Roslan di dalam kotak penalti.

Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi memastikan kemenangan pertama Kelantan untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah menerusi sepakan percuma pada minit ke-84 menewaskan Mohd Iqbal Suhaimi di gawang Selangor.

Selangor yang juga juara bertahan Liga Super akan meneruskan usaha memburu mata pertama dengan bertandang ke Stadium Utama di Kangar untuk menentang Perlis yang turut tewas kepada Pahang, kelmarin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...